JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpandangan isu ketiadaan dana yang dihadapi oleh calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini disifatkan satu pembalasan akibat tindakan politik yang didakwa dilakukan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap UMNO sebelum ini.
Jelasnya, perbuatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamed pada tahun 2018 yang didakwa menganiaya UMNO dan beberapa pemimpinnya dengan pertuduhan politik menyebabkan akaun parti dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan siasatan 1MDB.
Beliau berkata, sepanjang dua tahun dari 2018 sehingga 2020, UMNO terpaksa menahan keperitan tanpa dana untuk menguruskan parti dan berdepan dengan lapan pilihan raya kecil (PRK).
"Bagi saya semua itu (ketiadaan dana PRN) adalah satu kifarah atau hukum karma kepada Muhyiddin dan Bersatu yang sebelum ini menganiaya UMNO.
"'Tindakan Muhyiddin dan Mahathir nak hancurkan UMNO dengan pelbagai dakwaan dan siasatan terpilih akhirnya berbalik kepada mereka.
"Akaun UMNO juga pernah dibekukan sebab siasatan SPRM ke atas Presiden UMNO dalam kes 1MDB. Tapi akhirnya memang tiada kaitan UMNO dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nur Jazlan mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang mengakui PN mengalami kekangan kewangan untuk berkempen pada PRN ini kerana akaun Bersatu masih dibekukan oleh SPRM.
SPRM dalam satu kenyataan media pada April lalu memaklumkan bahawa dua akaun parti Bersatu yang sebelum ini dibekukan disita oleh suruhanjaya itu.
Akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Pulai itu, UMNO pernah merasai keperitan dan kesusahan bila kantung parti dibekukan, namun pemimpin serta ahlinya tetap tabah mengharungi dugaan itu.
Katanya, berkat kesabaran pemimpin dan ahli-ahlinya, UMNO akhirnya tetap memang lima daripada lapan PRK yang diadakan sepanjang tempoh 2019 dan 2020 tanpa dana pilihan raya yang besar.
"UMNO terpaksa berjuang dan berdepan dengan beberapa PRK dengan kantung yang kosong. Tapi pemimpin dan orang UMNO tak adalah nak mengeluh.
"Jadi sekarang ini biarlah Bersatu dan Pas rasakan pula macam mana pedih serta sakitnya bila kena batang tubuh sendiri.
"Biarlah Muhyiddin cari cara lain untuk membayar jentera kempen Pas sepanjang PRN ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Nur Jazlan berkata, bila pemimpin Pas mengeluh mengenai ketiadaan dana PRN akibat akaun Bersatu dibekukan, ia membuktikan selama ini parti berkenaan sememangnya banyak ditaja oleh Bersatu.
Jelas beliau, jika sebelum ini pemimpin Pas sering menafikan parti itu mendapat sumbangan dana daripada Bersatu terutamanya pada Pilihanraya Umum Ke-15 lalu, namun kenyataan daripada Pas Selangor itu sudah mendedahkan cerita sebenar.
"Jadi benarlah cerita-cerita sebelum ini yang dakwa Bersatu memang jadi ‘banker’ kepada Pas.
"Sebab itulah pemimpin Pas terutamanya Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) cukup sayangkan Bersatu hingga sanggup khianati UMNO dalam Muafakat Nasional,” katanya.