ERL lantik Meru Utama pemegang konsesi media

Iklan
Noormah Mohd Noor (kiri) dan Aznur Azizuddin selepas Menandatangani Perjanjian antara ERL dan Meru Utama, dalam satu majlis di ibu negara pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) secara rasmi melantik Meru Utama Sdn Bhd sebagai pemegang konsesi media ERL menerusi kontrak yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, kontrak tersebut dimeterai untuk tempoh tiga tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui kerjasama itu pihaknya optimis dengan potensi pulangan yang bakal diperoleh sejajar dengan pemulihan industri penerbangan pasca pandemik Covid-19.

"Dengan jumlah perjalanan udara yang semakin meningkat, kami melihat ia akan memberi impak positif kepada jumlah penumpang ERL.

Iklan

"Kami jangka jumlah penumpang kami akan pulih lebih 80 peratus daripada tahap pre-pandemik menjelang akhir tahun ini.

"Kerjasama ini akan memberikan lebih banyak pendedahan kepada pelancong asing dan tempatan.

"Kami yakin dengan pengalaman luas dan komitmen Meru Utama terhadap kualiti, dapat menggunakan aset media kami secara optimum untuk menjana nilai maksimum untuk semua pihak,” katanya sempena Majlis Menandatangani Perjanjian antara ERL dan Meru Utama, di sini.

Iklan

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Noormah dan Pengarah Meru Utama, Aznur Azizuddin.

Meru Utama adalah perintis dalam industri pengiklanan lapangan terbang yang berpengalaman selama 39 tahun.

Menerusi kontrak tersebut, Meru Utama akan mengurus dan mengendalikan aset pengiklanan ERL yang merangkumi semua stesen serta semua tren Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ekspres dan KLIA Transit.

Di samping itu, syarikat itu juga akan melabur dan memasang aset digital tercanggih di stesen-stesen tersebut.

Sementara itu, Pengarah Unit Perniagaan Meru Utama, Herman Lim, berkata, ketika ini pihaknya menguruskan medium pengiklanan di Terminal 1 KLIA, Terminal 2 KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (Johor).

"Dengan kerjasama yang antara ERL dan Meru Utama ini, kami menawarkan pelanggan kami pendedahan yang lebih luas untuk penumpang mendapatkan akses melalui perjalanan mereka ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga ke KLIA.

"Selain itu, disebabkan peningkatan permintaan dalam 'Digital Out Of Home', kami akan melabur dan memasang aset digital baharu di stesen-stesen tersebut,” katanya.