MACHANG - Minat bermain permainan video, PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Abdul Azim Ikromi Abdul Rashid apabila berjaya menjana pendapatan dan mewakili negara bagi pelbagai pertandingan yang diadakan.
Bermula dengan pertandingan di dalam negara, Abdul Azim Ikromi, 20 melangkah jauh apabila menyahut cabaran di peringkat Asia yang akan diadakan di Shanghai, China sepanjang Mei ini.
Menurutnya, sekalipun terpaksa menjalani ibadah puasa di negara orang namun ia bukan halangan untuknya memanfaatkan peluang yang terhidang itu sebaik mungkin.
Katanya, selain terpaksa berpuasa jauh dari keluarga, dia juga menangguhkan pengajiannya di UiTM Kelantan bagi meneruskan saingan yang membabitkan empat negara, Malaysia, India,Thailand dan Vietnam.
"Selepas memenangi PUBG Mobile Club Open 2019 (Southest Asia) pada Mac lalu, saya dan ahli pasukan Yoodo Gank terpilih untuk membawa saingan negara ke Shanghai dan ia merupakan peluang yang cukup bermakna buat saya dan rakan-rakan yang lain.
"Sekalipun agak berfikir panjang untuk menyahut cabaran yang akan berlangsung sepanjang Ramadan ini namun ia adalah peluang yang jarang-jarang berlaku dan kami sepakat untuk memanfaatkannya sebaik mungkin. Saya sendiri tidak pasti sempat beraya di tanah air atau tidak namun ia bukan halangan buat kami," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Tambah Abdul Azim Ikromi, pertandingan tersebut akan diadakan pada setiap hujung minggu sekaligus memaksanya berada di negara tersebut selama sebulan bagi menamatkan saingan dan memburu kejuaraan.
Katanya, selain mewakili negara ke peringkat yang lebih tinggi, dia juga mampu menjana pendapatan tetap setiap bulan melalui penstriman video PUBG menerusi laman Facebook sekaligus mempunyai gaji sendiri sejak bulan lalu.
Tambahnya, jika sebelum ini, dia mengumpul wang melalui pertandingan-pertandingan yang disertainya sejak akhir tahun lalu namun kini, memperoleh pendapatan tetap melalui PUBG.
"PUBG umpama game bertuah saya. Wang diperolehi bukan sahaja disimpan untuk masa depan dan pengajian saya tetapi turut dikongsi bersama ibu bapa. Keluarga memberi sokongan penuh namun dalam masa yang sama mengingatkan saya agar pandai membahagikan masa agar pengajian saya tidak terjejas.
"Bagi saya ini adalah peluang yang terhidang dan tidak akan selalunya datang, maka ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan berharap ia menjadi contoh kepada orang lain agar sama-sama memanfaatkan peluang yang ada," katanya yang lebih dikenai sebagai Draxx dalam kalangan penggemar permainan itu.
Tambah Abdul Azim Ikromi, permainan PUBG juga anggap sebagai terapi untuk dia menghilangkan tekanan setelah seharian melakukan tugasan akademik di kampus.