PUTRAJAYA - Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) dalam mesyuaratnya hari ini membincangkan cadangan pelaksanaan projek bagi melengkapkan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kemudahan mesra OKU itu adalah dari segi kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan juga bangunan awam.
Mesyuarat yang dipengerusikan Nancy itu juga melantik 10 individu sebagai anggota baharu MKBOKU di bawah Seksyen 3 (2)(j) Akta Orang Kurang Upaya 2008, berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2025.
"Pelantikan berdasarkan kepada nilai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang luas berkaitan OKU di Malaysia dan juga peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Turut dikemukakan dalam mesyuarat itu ialah dapatan Program Audit Akses 2011-2022 oleh Universal Design Unit (Kudu), Department of Architecture in Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED) of International Islamic University Malaysia (IIUM) bagi menepati reka bentuk sejagat dan alam bina untuk memudahkan akses kepada penggunaan OKU.
Dua kertas makluman dibentangkan dalam mesyuarat itu antaranya projek melengkapkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kemudahan mesra OKU serta laluan khas bagi kemasukan pelajar melalui UPUonline sebagai memenuhi aksesibiliti dan kesaksamaan hak golongan OKU dalam masyarakat.
"Mesyuarat ini bertindak sebagai platform utama kerajaan ke arah pembangunan, pemulihan, pembangunan serta pengintegrasian dalam komuniti OKU di negara selaras dengan rukun kesejahteraan seperti yang terkandung dalam aspirasi Malaysia Madani," kata Nancy. - Bernama