[DIKEMAS KINI] Pemaju hartanah, Forest City sedia untuk menyemak serta menilai semula perancangan pembangunan Forest City selepas 2025 sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.
Timbalan Presiden Serantau Forest City, Ir Syarul Izam Sarifudin berkata, tumpuan ketika ini adalah aspek jualan dan pemasaran yang menyasarkan pembeli hartanah dari Asia antaranya Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Filipina dan juga Indonesia.
"Bagi merealisasikan usaha itu, Forest City komited mempergiat promosi di negara berkenaan tahun ini, antara yang telah dilaksanakan adalah melantik lebih 100 ejen hartanah antarabangsa.
"Selain itu, Forest City mengalu-alukan individu tempatan yang berminat menyewa unit kedai di Forest City berikutan kawasan berkenaan dikelilingi pelbagai sektor industri seperti pelabuhan, kilang, pentadbiran kerajaan dan sebagainya," kataya dalam kenyataan pada Rabu.
Projek Forest City dimulakan sejak 2015 dan sehingga hari ini, sebanyak 28,000 unit kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 1,400 ekar.
Sehingga kini, Forest City menempatkan dua buah hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia, sekolah antarabangsa Shattuck St Mary Forest City serta taman air.
Syarul Izam berkata, pada masa sama syarikat itu komited menjayakan perancangan projek mega pembangunan seperti dilancarkan dalam pelan induk mereka walaupun pasaran hartanah tempatan bergerak perlahan pasca pandemik Covid-19 ketika ini.
Katanya, rancangan jangka panjang Forest City untuk memajukan sebuah pembangunan mampan di kawasan melibatkan empat pulau buatan dengan keluasan lebih 2,832 hektar itu tidak pernah berubah.
Pihaknya tidak merasakan keperluan untuk mengubah perancangan untuk 10 tahun pertama projek itu yang dimulakan sejak 2015.
"Fasa pertama iaitu antara 2015 hingga 2020 adalah untuk menyiapkan kediaman serta beberapa infrastruktur dan ruang perniagaan bagi menampung penempatan sedia ada, manakala tumpuan fasa kedua iaitu antara 2020 hingga 2025 pula adalah mencari lebih banyak pelaburan terutama dalam perdagangan, kewangan dan industri berteknologi tinggi.
"Syarikat kekal optimis membangunkan pulau buatan dengan sektor hartanah sebagai perniagaan teras.
"Walaubagaimanapun, atas faktor luar jangka seperti pandemik Covid-19 dan ekonomi global yang perlahan, perancangan pelan induk asal tetap diteruskan meskipun momentum pembangunan terkesan," katanya.