Contohi ketegasan Tun Dr Ismail - PM

Iklan
Anwar pada Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Generasi muda wajar mencontohi ketegasan dan integriti tinggi dipamerkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam memimpin negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua sifat itu perlu tersemat di dalam jiwa semua anak-anak muda kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk menyelamatkan negara.

Iklan
Iklan

"Aspek ini, perkara ini dari negarawan, Tun Dr Ismail yang perlu kita pelajari, termasuklah integriti Tun di dalam berpolitik, penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kebejatan sosial, tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan tatakelola yang baik.

"Perkara ini perlu hidup dalam negara kita, negara akan selamat jika ada integriti, kerana apa, orang tahu kita tidak boleh dibeli, tidak makan pujuk rayu, wang dan harta,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Memperingati Negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Al-Haj, Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan anak Allahyarham Tun Dr Ismail, Tawfiq.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan Tun Dr Ismail sebagai pejuang bangsa dan kebangsaan tulen yang mempunyai dasar dan visi jelas untuk membantu membina negara bangsa terutama pasca tragedi berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Iklan

"Biarpun Tun ini golongan aristokrat, maknanya beliau rapat dengan istana dan kelas atasan, tetapi tidak langsung beliau pamerkan bila berbicara soal dasar, pembangunan luar bandar dan juga desa.

"Apa yang saya boleh singkap, beliau mempunyai satu dasar yang jelas, iaitu untuk membangunkan negara, memacu pertumbuhan, menyelamatkan negara dan memberi harapan kepada setiap warganegara baik Melayu, Cina, India, di Sabah mahupun Sarawak," katanya.

Perdana Menteri berkata, sambutan yang diadakan bagi mengenang sumbangan negarawan ulung Tun Dr Ismail pada hari ini bukan sekadar satu nostalgia, sebaliknya untuk dijadikan pedoman generasi masa kini.

"Kita nak hidupkan mesej yang Tun Dr Ismail bawa, suara keramat beliau dalam meletakkan asas menyelamatkan negara bangsa... jadi sambutan ini sangat relevan tambahan di dalam bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi," kata beliau. - Bernama