PELARI sensasi negara, Umar Osman sekali lagi berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 400 meter (m) lelaki Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China.
Dalam aksi separuh akhir di Stadium Pusat Sukan Shuangliu pada Rabu, Umar memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 46.09 saat (s), sekali gus melayakkan ke ke perlumbaan akhir pada Khamis.
Catatan itu menyaksikan Umar mengakhiri saringan separuh akhir di kedudukan ketiga terbaik di belakang pelari Australia, Nathaniel Holder Reece yang mencatat masa 45.75s dan atlet Jepun, Kenki Imaizumi (46.01s).
"Saya tahu esok (Khamis) memang sukar (walaupun) dua kali pecah rekod di sini (Chengdu). Tetapi ia lebih manis jika saya dapat membawa pulang pingat pada final nanti.
"Itu yang saya harapkan, pecah rekod dan jika dapat catatan bawah 46s... itu saya anggap bonus,” kata Umar, pelari kelahiran Johor dan pelajar Politeknik Sultan Ibrahim Johor.
Pada Selasa, Umar memahat rekod baharu kebangsaan yang diciptanya pada temasa Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei lalu dengan kepantasan 46.33s.
Catatan itu sudah cukup bagi Umar untuk mamadam rekod selama 22 tahun yang dipegang Zaiful Zainal Abidin yang merekodkan masa 46.34s.
Dalam pada itu, kem olahraga negara turut lega apabila seorang lagi atlet, Andre Anura melangkah ke final acara lompat kijang apabila menduduki tempat keempat keseluruhan.
Atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mencatatkan jarak lompatan 15.84m, namun dia dijangka berdepan tugas getir dalam memburu pingat di pentas final pada Khamis.
Andre yang pernah mencatatkan jarak 17m ketika latihan, tampak sukar untuk menyainginya tiga pencabar utamanya yang mempunyai jarak lompatan melebihi 16m.