PDRM Terengganu komited jayakan World #QuranHour

Iklan
Aidi (tengah) bersama warga PDRM Terengganu memegang placard kempen World#QuranHour bagi menjayakan program itu yang akan diadakan serentak pada 30 Mei ini.

KUALA TERENGGANU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu komited dalam menjayakan World #QuranHour 1440H yang diadakan pada 30 Mei 2019 bersamaan 25 Ramadan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, warga PDRM Terengganu menyokong penuh usaha menjayakan program itu dengan jangkaan penyertaan seramai 700 anggota di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Seluruh IPD dan IPK akan turut serta pada 30 Mei ini untuk bacaan 30 juzuk al-Quran di seluruh IPD yang mana berpusat di surau kita iaitu Surau al-Hidayah.

"Di peringkat IPK pula, dijangka seramai 150 anggota dan pegawai lelaki dan wanita akan terlibat untuk bacaan al-Quran serentak yang akan dihabiskan dalam tempoh satu jam,” katanya ketika ditemui di IPK Terengganu, hari ini.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Sementara itu, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, IPK Terengganu, Deputi Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, program World #QuranHour 1440H yang akan diadakan kali ini lebih meriah berbanding sebelum ini.

Maizura memegang placard kempen World#QuranHour ketika ditemui di pejabatnya di IPK Terengganu.

Iklan

"Sebelum ini, kita juga menjayakan program ini, namun, dalam skala yang agak kecil.

"Kali ini kita jangka penyertaan lebih ramai daripada seluruh anggota polis di seluruh negeri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, program seumpama itu begitu dinanti dan bertepatan dengan bulan Ramadan yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam.

"Kita harap, seluruh anggota kita dapat menjayakan program ini. Sekiranya ia diadakan serentak, dijangka seramai 700 warga PDRM akan baca al-Quran bersama-sama dalam satu masa.

"Ini adalah langkah terpuji kerana ia bukan sahaja mendekatkan diri dengan al-Quran, ia juga demi melahirkan insan amanah, bertanggungjawab dan menurut semua inti pati Islam sebagaimana termaktub dalam al-Quran,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: WUIF sasar satu bilion tanda pagar #QuranHour

Terdahulu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui penganjuran World #QuranHour, menyasarkan satu bilion tanda pagar #QuranHour dari seluruh dunia pada acara terbesar yang bakal berlangsung pada 30 Mei ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, World #QuranHour yang memasuki tahun keempat penganjurannya mahu mencapai sasaran tersebut hasil sinergi bersama rakan media lain.

"Tahun lalu, World #QuranHour berjaya mengumpulkan lebih 646 juta #QuranHour dari seluruh dunia yang melibatkan 60 negara dan 214 hotspot.

"Tahun ini dengan sinergi media daripada pelbagai organisasi diharap dapat lebih mempromosikan World #QuranHour ini kepada seluruh umat Islam, baik di dalam negara dan luar negara," katanya.