SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa tampil memberi penjelasan berhubung isu pengumuman peruntukan projek dan dana untuk rakyat serta belia Terengganu yang didakwa sebagai rasuah memandangkan ia berkait kesalahan dalam pilihan raya.
Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, SPR lebih berhak memberi penjelasan dan panduan pilihan raya khususnya berkaitan isu tersebut dalam konteks peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Menurutnya, ia jelas mempunyai kaitan dengan manifesto parti yang bertanding menjelang berlangsungnya pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
"Jangan biarkan pelbagai pihak berkepentingan mengambil kesempatan atas isu ini dan merosakkan imej serta kredibiliti SPRM dan kerajaan hari ini.
"SPR disaran tampil menjernihkan isu ini dengan membuat penjelasan secara objektif agar rakyat lebih faham dan tidak ada tuduhan bahawa pihak berkuasa cuba melindungi sesiapa atau mana-mana pihak atau parti dalam isu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Gesaan tersebut dibuat susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dilapor berkata, tiada kesalahan rasuah berhubung isu sogokan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengumumkan peruntukan kepada tiga persatuan belia di Terengganu minggu lalu.
Mengulas lanjut, Rosdi berkata, adalah lebih wajar mana-mana individu yang mewakili kerajaan, membuat pengumuman pemberian sebarang peruntukan kerajaan Persekutuan untuk kebajikan dan kebaikan rakyat di luar musim pilihan raya agar lebih berintegriti serta bebas daripada persepsi rasuah.
"Secara teknikal berdasarkan peruntukan undang-undang Akta 5 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), pihak SPRM menyatakan pendirian tersebut memandangkan pengumuman oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tersebut dibuat sebelum tarikh rasmi penamaan calon.
"Justeru, Akta 5 1954 dan peruntukan berkaitan di dalam Akta 694 2009 tidak terpakai," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan Zahid umum peruntukan di Terengganu tiada kaitan PRN - Anwar
'Pemberian geran inisiatif kerajaan, tiada unsur rasuah' - Azam Baki
'Tindakan Ahmad Zahid umum peruntukan dengan syarat mengundi jelas rasuah'
‘Jelas ini sogokan untuk beli undi’ - Syed Saddiq