Enam maut rusuhan agama di India

Iklan
Bangkai kenderaan yang hangus dibakar perusuh semasa keganasan agama di Nuh yang menyaksikan enam orang terbunuh setakat Rabu. - EPA

NEW DELHI - Angka kematian akibat rusuhan agama di New Delhi, India meningkat kepada enam orang setakat Rabu.

Keganasan bermula pada Isnin apabila kumpulan Hindu, Vishwa Hindu Parishad (VHP) membuat perarakan di daerah Nuh di wilayah Mewat yang didominasi penduduk Islam.

Iklan
Iklan

Beberapa kedai dan perniagaan milik orang Islam di Gurugram, hab komersial kira-kira 20 kilometer (km) dari New Delhi turut dibakar pada malam Selasa.

Satu kawasan kejiranan menyaksikan kumpulan perusuh yang terdiri daripada kira-kira 200 orang bersenjatakan kayu dan batu merompak beberapa kedai daging dan membakar sebuah restoran sambil melaungkan slogan agama Hindu.

Iklan

Ketua Menteri Haryana, Manohar Lal Khattar berkata 116 orang ditangkap dalam keganasan itu setakat ini.

Dua daripada yang maut adalah anggota keselamatan dalam perjalanan untuk membantu membendung pergolakan di Nuh.

Iklan

Media tempatan melaporkan, ketegangan mula memuncak selepas aktivis nasionalis Hindu terkemuka Monu Manesar, ahli kumpulan sayap kanan radikal Bajrang Dal, mengumumkan dia akan menghadiri perarakan di Nuh.

Manesar dikehendaki polis atas tuduhan bahawa dia bertanggungjawab membunuh dua peniaga lembu beragama Islam di bahagian lain negeri Haryana.

Tambah laporan itu, berpuluh-puluh orang cedera dengan sekurang-kurangnya lima masih kritikal di hospital.

Nuh yang terletak kira-kira 70km dari New Delhi dikenakan perintah berkurung sejak malam Isnin. - AFP