Rakyat lebih bimbang kenaikan kos hidup berbanding 'gelombang hijau' - Tinjauan

Iklan
Hasil dapatan temu bual oleh Insap terhadap 292 responden, hampir keseluruhan mereka menyatakan kekecewaan berhubung keadaan ekonomi.

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini didapati lebih bimbangkan peningkatan kos sara hidup dalam keadaan pendapatan yang kurang stabil berbanding potensi ‘gelombang hijau’ atau kebangkitan ekstremisme.

Menurut hasil dapatan temu bual oleh Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) terhadap 292 responden, hampir keseluruhan mereka menyatakan kekecewaan berhubung keadaan ekonomi, kos sara hidup, perbelanjaan kredit semakin meningkat dan kuasa beli yang semakin berkurangan.

Iklan
Iklan

"Pemilik perniagaan juga menyatakan kemerosotan dalam urus niaga runcitnya dan bimbang berkenaan keupayaan mereka untuk membayar pinjaman dan gaji pekerja pada bulan-bulan akan datang.

"Walaupun sektor peruncitan mengalami kebangkitan semula berikutan kemasukan pelancong antarabangsa dan domestik, pemilik perniagaan kecil tetap berhati-hati dan kurang optimistik terhadap masa depan mereka.

Iklan

"Ini kerana majoriti pelanggan mereka adalah tempatan yang kini sedang mengurangkan perbelanjaan mereka untuk barangan dan perkhidmatan,” kata badan pemikir itu dalam satu kenyataan.

Temu bual yang dilakukan oleh Insap itu dijalankan secara bersemuka di kawasan terpilih di Selangor dan Negeri Sembilan pada Mei dan Jun lalu.

Iklan

Berdasarkan dapatan, sebanyak 84 peratus Melayu, 79 peratus Cina dan 78 peratus India menuntut supaya langkah mengurangkan kos sara hidup dilaksanakan segera diikuti dengan mereformasi ekonomi dengan undian sebanyak 62 peratus Melayu, Cina (76 peratus) dan India (58 peratus).

Dalam masa sama, tinjauan tersebut juga menunjukkan bahawa majoriti iaitu lebih 59 peratus responden berpuas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keupayaan beliau dalam perihal menguruskan negara serta ekonomi.

Bagaimanapun, menurut Insap, responden Melayu menunjukkan peratusan paling rendah iaitu hanya 35 peratus berpuas hati terhadap Anwar manakala 40 peratus lagi tidak berpuas hati.

"Ini berikutan penglibatan kerajaan yang tidak mencukupi dalam isu arus perdana seperti kos sara hidup, yang telah memburukkan lagi kesan buruk kepada ekonomi.

"Kekecewaan semakin meningkat dalam kalangan penduduk apabila kenaikan harga komoditi, kadar faedah, dan kekurangan panduan yang jelas untuk menyelesaikan isu asas yang dihadapi oleh rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Insap, Jacob Lee berkata, kerajaan perlu mengambil maklum bahawa rakyat Malaysia semakin kecewa dan hilang harapan terhadap kebangkitan ekonomi yang dijanjikan sebelum ini semasa kempen pilihan raya umum lalu.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Perpaduan bertindak dan mengambil langkah segera untuk menangani kebimbangan rakyat,” katanya.