GEORGETOWN - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menafikan dakwaan kononnya dia diminta meninggalkan ceramah mega 'PN Best' yang dianjurkan oleh Pas di Sungai Dua, pada Selasa.
Menurut Dominic, beliau ke ceramah itu untuk berjumpa dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang namun tidak sempat.
"Saya berada di sana untuk bertemu dengannya tetapi kerana acara itu berjalan lambat saya tidak dapat bercakap dengannya dan terpaksa pergi.
"Abdul Hadi meminta untuk bertemu pada jam 9 malam di Sungai Dua sebelum ceramah bermula tetapi beliau lewat dan berada di sana sekitar jam 10.30 malam," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Dominic yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas berkata, disebabkan ceramah sudah bermula beliau tidak sempat untuk bercakap dengan Abdul Hadi.
Katanya, beliau mengambil keputusan untuk pulang berikutan perlu menghadiri mesyuarat bersama jentera parti.
"Pada penghujung setiap hari kami perlu berkumpul semula dan mengadakan mesyuarat untuk merancang pelan kempen untuk keesokan hari.
"Kami tinggalkan kawasan ceramah itu kira-kira jam 11 malam," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Dominic yang juga Timbalan Presiden PN didakwa dihalang untuk hadir Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Sungai Dua.
Ceramah mega itu menampilkan Presiden Pas merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang merangkap calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar.
Dilaporkan, Pengerusi PN Pulau Pinang itu diminta untuk meninggalkan majlis kerana dikatakan tidak diundang untuk menyertai program berkenaan.