Khianat bahan kempen: PH Kuala Terengganu buat laporan polis

Iklan
Azan (dua dari kanan) pada sidang media selepas membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab terhadap bahan kempen beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail, hari ini membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab, terhadap bahan kempen beliau.

Azan dari PKR berkata, perbuatan khianat itu dikesan berlaku sejak beberapa hari lepas, namun kejadian mengoyakkan poster yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan objek tajam, dikesan hari ini dan disifatkan sebagai keterlaluan.

Iklan
Iklan

"Tindakan ini bukan sahaja suatu penghinaan, tetapi petugas jentera juga mula rasa terancam. Saya melihat penggunaan objek tajam untuk merosakkan poster, sebagai memberi peringatan atau simbol bahawa ia (ancaman) betul-betul boleh dilakukan pihak tersebut.

"Kita menggesa supaya pihak berkuasa tidak membiarkan perkara ini... sebab itu kita buat laporan polis bersama jentera Barisan Nasional (BN), kerana tidak mahu perkara ini berterusan.

Iklan

"Kita bimbang perkara seperti ini merebak sehingga kepada kejadian yang lebih tidak elok,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Azan yang akan bertembung dengan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam PRK pada 12 Ogos ini, turut berpesan kepada jenteranya agar tidak memberi sebarang reaksi balas terhadap perbuatan khianat tersebut, sebaliknya terus melakukan kempen secara harmoni dan bermoral.

Iklan

PRK Kuala Terengganu itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut pada 27 Jun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan pihaknya akan memulakan siasatan terperinci mengenai kes tersebut dengan segera. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!