Zii Jia pecah kebuntuan di Terbuka Australia

Iklan
Zii Jia - Foto Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM

PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan di pusingan pertama yang 'membelenggu' beliau selepas hampir dua bulan, dengan kejayaan melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Australia.

Bagaimanapun, pemain nombor 17 dunia itu bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menundukkan rakan senegara dan nombor 51 dunia, Leong Jun Hao 12-21, 21-17, 21-16 selepas pertarungan 64 minit di State Sports Centre di Sydney hari ini.

Iklan
Iklan

Pada pusingan kedua esok, pemain berusia 25 tahun itu dijadualkan berhadapan Mithun Manjunath dari India yang mengejutkan bekas Juara Dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 21-19, 21-19.

Ini kali pertama Zii Jia berjaya melepasi halangan pusingan pertama sejak tersingkir daripada pusingan kedua Masters Malaysia Mei lepas.

Iklan

Sejak itu, beliau tersingkir sebanyak empat kali seawal pusingan pertama berturut-turut di Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.

Pencapaian terbaik Zii Jia dalam Jelajah Dunia tahun ini ialah layak ke separuh akhir All England dan Terbuka Switzerland daripada 11 kejohanan yang beliau sertai.

Iklan

Sementara itu, beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga melangkah ke pusingan kedua selepas menyingkirkan Lee Jae Sun dari Korea Selatan yang bergandingan dengan Charis Ho dari Australia 21-10, 21-4.

Pasangan kelapan pilihan kejohanan itu akan dicabar Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia bagi memburu slot ke suku akhir, esok.

Satu lagi beregu campuran, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing bakal menghadapi perlawanan mencabar menghadapi pilihan ketiga kejohanan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan dalam pusingan kedua.

Beregu campuran nombor 37 dunia itu mengejutkan pasangan Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han dari Singapura 21-15, 21-17.


Keputusan lain (Malaysia melainkan dinyatakan):

Beregu campuran:

[5] Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mn Lu Ming Che-Hung En Tzu (TPE) 21-12, 11-21, 21-13

Adnan Maulana-Nita Violina Marwah (INA) mn Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-16, 21-10

[2] Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (CHN) mn Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-10, 14-21, 21-16

Beregu Lelaki:

Lee Yang-Wang Chi Lin (TPE) mn Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 21-16, 16-21, 21-17

- Bernama