SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berunsurkan rasuah melalui wang ringgit, penyalahgunaan kuasa, pemberian dan penerimaan hadiah.
Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, inisiatif Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dibuat adalah satu permulaan agar warga kerja yayasan itu sentiasa berwaspada.
"Kita harap ia akan dapat memberi pendedahan kepada warga kerja untuk mengamalkan budaya kerja yang baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti serta sikap tanggungjawab dalam tugas yang diamanahkan.
"Kita komited dalam memerangi rasuah dan ia dibuktikan dengan kajian skor ketelusan tertinggi yang telah dijalankan oleh Wiki Impact. YBR telah disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan yang mendapat markah penuh dalam penilaian yang dijalankan dan kajian ini melibatkan 1,600 yayasan di Malaysia.
"YBR turut menerima Anugerah ‘Foundation Of The Year’ bagi kategori perbankan di Majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023 pada 26 Julai lalu di atas inisiatif yang telah dijalankan dalam meningkat sosioekonomi melalui pendidikan serta program-program kemasyarakatan yang telah dijalankan sepanjang tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Majlis melafazkan Ikrar Bebas Rasuah itu berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur dan diketuai oleh Syaiful Rizal serta disertai barisan pengurusan kanan YBR.
Ia turut disaksikan oleh Ketua Cawangan Kerajaan dan Agensi, Pendidikan Masyarakat (PenMas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Pesuruhjaya Samsul Salip.
Tambah Syaiful Rizal, YBR juga akan bekerjasama dengan Pendidikan Masyarakat PenMas SPRM bagi mengadakan program pendidikan melalui pendedahan mengenai amalan rasuah dalam kalangan pelajar sekolah, mahasiswa dan golongan belia.
Jelasnya, usahasama itu dibuat kerana melihat kepentingan menerapkan kesedaran budaya membenci rasuah perlu dibuat pada peringkat usia muda.