Persiapan akhir menjelang Perutusan Perdana Ulang Tahun Malaysia Baharu

Iklan
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada temu bual dengan wartawan Bernama semasa meninjau persiapan dan raptai Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pentas sudah tersedia untuk majlis Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu yang akan disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang meninjau persiapan akhir majlis itu hari ini berkata, acara itu sangat penting untuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri dijadual menyampaikan perutusan penting itu pada 3.30 petang.

"Saya harap semuanya berjalan lancar dan setakat ini semuanya berada dalam keadaan teratur," katanya kepada Bernama ketika meninjau kira-kira sejam persiapan dan raptai penuh majlis itu bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Iklan

Kira-kira 1,500 tetamu dijangka menghadiri majlis itu termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, wakil rakyat, diplomat asing, wakil badan bukan kerajaan dan penjawat awam.

Acara itu akan turut disiarkan secara langsung melalui RTM1.

Iklan

Perdana Menteri kemudiannya dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran Kemenangan Rakyat di Masjid Putra, di sini sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. - Bernama