Universiade: Kem badminton tambah lagi pingat buat Malaysia

Iklan
Kontinjen Malaysia menambah satu lagi gangsa di Universiade Chengdu dalam acara badminton berpasukan campuran pada Rabu.

KONTINJEN Malaysia menambah satu lagi pingat gangsa menerusi acara badminton berpasukan campuran setelah cabaran negara tersekat di separuh akhir apabila tumpas 0-3 kepada juara bertahan Taiwan pada Rabu.

Keputusan itu menyaksikan kontinjen Malaysia di Universiade mengumpul keseluruhan satu pingat emas dan empat pingat gangsa setakat ini.

Iklan
Iklan

Skuad badminton tampil dengan misi untuk menukar warna sebelum ini menampilkan beregu campuran, Wong Tien Ci-Desiree Siow.

Bagaimanapun, mereka gagal menandingi kehebatan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin apabila tewas straight set 18-21, 16-21.

Iklan

Anson Chong yang tampil bagi acara perseorangan lelaki memberi saingan sengit kepada Lin Chun Yi bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, dia yang berada di ranking 545 dunia terpaksa akur pengalaman berpihak berdepan pemain ranking ke-25 dunia apabila tewas 15-21, 16-21.

Iklan

Dalam pada itu, Yap Rui Chen yang lebih banyak bermain dalam acara beregu sebelum ini tampil menggantikan perseorangan wanita S Kisona yang masih dibelenggu kecederaan.

Rui Chen yang berdepan Hsu Wen Chi pemain ranking ke-20 dunia bermula garang apabila menang set pertama 21-18.

Bagaimanapun, Wen Chi yang jauh berpengalaman kembali menyamakan kedudukan apabila menang set kedua 21-12.

Set penentuan, Wen Chi tidak menoleh belakang meneruskan momentum positif untuk kemenangan 21-18, biarpun Rui Chen berjaya menyaingi lawannya.

Khamis, saingan acara individu akan menyingkap tirai yang akan melihat kontinjen negara menyandarkan harapan kepada gandingan beregu lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia, Universiade Chengdu, Dr Mohd Rusllim Mohamed ternyata gembira apabila barisan atlet muda negara berjaya memastikan sasaran tiga pingat di Universiade Chengdu berjaya direalisasikan.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian kontinjen negara di sini terutama dengan pungutan pingat yang telah melepasi sasaran.

"Selain itu, atlet muda negara juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara yang disertai di sini," katanya.