SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menimbulkan kontroversi semasa ceramahnya baru-baru ini dilihat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menangkis gelombang hijau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, tindakan Sanusi itu sekali gus membentuk benteng dan menyekat gelombang hijau daripada mempengaruhi pengundi-pengundi Selangor khususnya DUN Kuang.
"Kelebihan itu, ia mungkin bukan dalam bentuk yang saya akan dapat tetapi ia dilihat sebagai membentuk satu benteng yang mengasingkan dan meredakan gelombang itu daripada sampai ke pantai (Kuang) kita.
"Bila Menteri Besar Kedah datang di bumi Selayang sebenarnya dan membuat ucapan kontroversi itu, saya rasa ia mengejutkan rakyat negeri Selangor daripada terseret daripada gelombang hijau.
"Saya rasa rakyat Selangor akan lebih cermat untuk menerima kemasukan gelombang ini,” katanya ketika program Sinar Live bertajuk Tiga Penjuru: Cabaran Undi Berpecah yang dihoskan oleh Nurul Riduan Nor Ashaha di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Sebelum ini, tular video ucapan Muhammad Sanusi di aplikasi TikTok yang memperlekeh kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana melantik Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.
Pada 15 Julai, Muhammad Sanusi melalui satu hantaran di Facebooknya memaklumkan telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan itu.
Dalam pada itu, Hasnal berkata beliau sentiasa mengambil pendekatan berjaga-jaga dengan ancaman ‘gelombang hijau’ yang boleh menular dan menembusi dinding di Selangor termasuk mempengaruhi pengundi DUN Kuang.
"Saya tidak memandang sepi ancaman (gelombang hijau) itu. Gelombang hijau itu boleh masuk ke pesisiran negeri Selangor, ia boleh sampai ke DUN Kuang tetapi buat masa ini saya rasa, kita masih boleh menangani kerana ia lebih kepada komposisi rakyat Selangor itu sendiri.
"Saya rasa negeri Selangor ini bukan satu ‘Malay belt’ yang akan serta-merta terancam, manakala rakyat Selangor ini sedikit canggih, mereka boleh memikir dan tidak terlalu terseret dengan sentimen dan sebagainya.
"Saya tidak kata ia bukan ancaman, saya sentiasa berhati-hati dan kekal berhati-hati sehingga 11 Ogos untuk melihat sama ada tsunami gelombang hijau itu sampai ke kuala kubu kita,” jelasnya.