SHAH ALAM - Seorang peguam tidak menyangka, wanita yang dibantu 25 tahun lalu berkaitan kes mencuri kotak pensel untuk dihadiahkan kepada si anak, kini anaknya membesar sebagai pengamal undang-undang.
Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkongsi pengalaman manis tersebut, apabila seorang anak muda yang tidak dikenali menegurnya di mahkamah pada tahun 2017.
Menurut beliau, anak muda berkenaan menangis sebaik sahaja menyapa lalu mengucapkan terima kasih kerana membantu ibunya pada tahun 1998.
"Pada ketika itu, saya berada di ruang legar mahkamah dan secara tiba-tiba seorang anak muda mendekati lalu menegur dan bertanya adakah saya ini, Ahmad Zaharil yang ‘menyelamatkan’ ibunya daripada di penjara?
"Sejujurnya, saya terkedu dan langsung tidak memahami apa yang disampaikan, sehingga dia menyebut kes kotak pensel berharga RM18,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ahmad Zaharil berkata, beliau sungguh tidak menyangka dapat bertemu semula dengan budak lelaki itu.
Beliau turut bersyukur dan gembira dengan tindakannya 25 tahun lalu untuk membantu seorang wanita India berusia 50 tahun yang tiba di mahkamah dalam keadaan tangan bergari.
"Ketika itu, saya sedang bersendirian di bilik mahkamah selepas mengendalikan kes, tiba-tiba wanita tersebut memasuki ruang berkenaan sambil diiringi polis.
"Terdetik pada hati saya untuk mendekatinya dan bertanya mengapa dia dihadapkan ke mahkamah. Rupa-rupanya dia telah mencuri kotak pensel berharga RM18 dari sebuah pasar raya,” ujarnya.
Ahmad Zaharil memberitahu, wanita itu telah berjanji sekiranya si anak berjaya menjadi pelajar terbaik, dia akan menghadiahkan kotak pensel.
Namun katanya, disebabkan tidak mempunyai wang yang cukup, dia terpaksa mencuri.
Selepas mendengar penjelasan wanita berkenaan, Ahmad Zaharil mulai terfikir nasib yang bakal menimpa kanak-kanak tersebut sekiranya dia dipenjarakan atas kesalahan itu.
"Sewaktu menghulurkan bantuan, saya sama sekali tidak memikirkan warna kulit. Sebaliknya saya mengenangkan nasib kanak-kanak itu, siapa yang akan menjaganya? Bagaimana mahu bersekolah jika ibu dipenjarakan?
"Semua itu bermain di benak fikiran dan saya ambil keputusan untuk campur tangan dalam kes berkenaan. Saya bercakap dengan majistret untuk menangguhkan kes itu ke satu masa baharu yang ditetapkan,” jelasnya.
Tanpa berlengah, Ahmad Zaharil memaklumkan beliau terus pergi ke sekolah kanak-kanak tersebut di Sentul, Kuala Lumpur, semata-mata untuk mengesahkan dakwaan wanita itu.
Beliau memberitahu, setelah bertemu dengan guru besar sekolah berkenaan, ternyata benar bahawa budak lelaki itu pelajar terbaik dalam kelasnya.
Menurutnya, beliau kembali ke mahkamah untuk bertemu dengan pemilik pasar raya dengan menawarkan wang berjumlah RM30 yang mana nilainya dua kali ganda harga kotak pensel itu, namun pemilik pasar raya itu enggan menarik kembali dakwaan tersebut.
"Saya cuba sehabis mampu untuk membantu wanita berkenaan. Alhamdulillah setelah keterangan guru diambil, akhirnya majistret membebaskannya selepas mengikat selama setahun dengan syarat berkelakuan baik.
"Sebelum wanita itu pergi, kami mengumpulkan sejumlah wang hasil sumbangan kakitangan mahkamah, anggota polis dan pihak saya sendiri,” tambahnya.
Tambah Ahmad Zaharil, itulah momen yang akan dikenang sepanjang tiga dekad menjadi peguam.
Beliau berkata, kini hubungannya dengan anak muda berkenaan semakin akrab sehingga menganggap dia seperti anak sendiri.
"Selepas pertemuan itu, kami sering berjumpa dan saling melawat antara satu sama lain pada perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.