SELEPAS tampil bergaya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Nilai, Negeri Sembilan, Jun lalu, barisan pelumba negara diketuai Datuk Azizulhasni Awang kini mengalihkan tumpuan di pentas lebih kompetitif.
Kejohanan Dunia 2023 di Glasgow, Scotland yang membuka tirainya dari 3 hingga 13 Ogos ini menjadi platform terbaik buat Azizulhasni dan rakan-rakan seperjuangannya memburu kejayaan gemilang penuh kemasyhuran.
Tampil selaku pemenang dua pingat emas ACC 2023, kelibat Azizulhasni sudah pasti mencuri tumpuan apabila dia membuat penampilan dalam acara kegemarannya, keirin selain pecut individu di Velodrom Sir Chris Hoy nanti.
Sesudah ditabal juara dunia pada edisi 2017 di Hong Kong, pelumba berusia berusia 35 tahun itu yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman tentunya mendambakan satu lagi kejuaraan dunia.
Edisi kali ini berkemungkinan menjadi penampilan terakhir buat Azizulhasni di pentas kejohanan berprestij itu selepas dia menyuarakan hasrat untuk bersara sebaik berakhirnya temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Atas kertas, pencabar utama Azizulhasni di Glasgow kali ini datangnya daripada pemenang 11 pingat emas Kejohanan Dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda.
Terbaharu, Azizulhasni terpaksa akur dengan kayuhan bertenaga Lavreysen apabila dikecewakan seteru utamanya itu ketika final acara keirin Piala Negara-Negara di Jakarta, Indonesia, Februari lalu.
Malah, Azizulhasni harus berwaspada dengan beberapa pelumba ternama Eropah lain termasuk pencabarnya dari Asia seperti dua pelumba handalan Jepun, Kaiya Ota dan Shinji Nakano.
Selain Azizulhasni, Malaysia menyandarkan harapan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut beraksi dalam acara sama, manakala Muhammad Fadhil Zonis bersaing bagi acara 1 kilometer ujian masa individu.
Selaku juara Asia, Fadhil akan turut mengetuai trio lelaki - Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah dalam acara pecut berpasukan selepas mereka menyambar kilauan gangsa ACC 2023.
Bagi saingan wanita, dua pelumba negara - Anis Amira Rosidi dan Izzah Izzati Asri masing-masing akan berentap dalam acara pecut individu dan 500 meter ujian masa individu.
Anis Amira dan Izzah Izzati akan bergandingan bersama Nurul Aliana Syafika Azizan dalam acara pecut berpasukan, namun mereka tidak layak beraksi bagi saingan keirin.