IPOH - Polis sedang mengesan seorang lelaki warga India yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah kedai gunting rambut di Manjoi pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan berhubung kejadian terbabit diterima daripada seorang wanita berusia 37 tahun di Balai Polis Jelapang pada Rabu.
"Kejadian sekitar jam 1.25 petang itu berlaku ketika mangsa sedang menunggu anak lelakinya digunting rambut oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
"Siasatan lanjut mendapati suspek telah melarikan diri selepas kejadian.
"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan D11, Asisten Superintenden Yap Siew Cheng di talian 012-9093362 bagi membantu siasatan," katanya.
Sebelum itu, tular satu gambar laporan polis yang dimuat naik seorang wanita mendakwa diganggu suspek ketika menunggu anak lelakinya berusia enam tahun digunting rambut.
Lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata lucah ketika berbual menyebabkan dia berasa tidak selesa ketika berada di kedai terbabit.
Laporan polis dibuat wanita itu selepas ada pelanggan lain didakwa turut berhadapan situasi sama.