JUARA bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) kini menyasarkan pula untuk mempertahankan trofi keagungan bola sepak negara itu dengan memastikan 'langkah kanan' pada aksi kalah mati (pusingan 16), berdepan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, trofi berkenaan kini menjadi sasaran baharu skuad Harimau Selatan itu dalam usaha menambah koleksi kejuaraan musim ini.
Justeru katanya, kesebelasan Harimau Selatan itu perlu memberikan aksi terbaik ketika berdepan skuad The Red Warriors itu bagi merealisasikan misi berkenaan.
"Kita akan mula beraksi dalam satu pertandingan 'baharu' yang juga merupakan satu pertandingan yang 'penting' kerana kita mahu memenanginya. Itu sasaran baharu kita.
"Untuk itu, sudah tentu kita mahu berikan aksi yang terbaik dengan menurunkan kesebelasan yang terbaik," katanya menjelang aksi kalah mati berkenaan.
Untuk rekod, JDT merupakan juara bertahan Piala Malaysia setelah menewaskan Selangor FC, 2-1, pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, musim 2022 lalu.
Sementara itu Solari berkata, dia mungkin melakukan penggiliran pemain bagi mengharungi aksi berdepan Kelantan FC itu.
Katanya, perkara berkenaan (penggiliran) dilihat penting bagi memastikan kecergasan pemain.
"Beberapa pemain kita seperti Forestieri (Fernando) dan Diogo (Santo) masih cedera dan kita tidak mahu terburu-buru menurunkan mereka.
"Oleh itu, mungkin akan ada penggiliran pemain kerana rata-rata pemain menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan dan ini membuktikan mereka bersedia bila-bila masa untuk diturunkan," katanya.