Shahelmy masih ahli UMNO, bukan wakil rakyat bebas - Jeffery Nor

Iklan
Shahelmey, Jeffery Nor

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed tampil menjelaskan kekeliruan bahawa Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya sebenarnya tidak digugurkan sebaliknya beliau kekal digantung keahlian dalam parti.

Menurutnya, penjelasan itu merujuk kepada kenyataan Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini, bahawa beliau menerima secara terbuka mengenai keahliannya sebagai ahli UMNO telah digugurkan.

Iklan
Iklan

"Ini bermaksud bahawa Datuk Shahelmy sebenarnya masih lagi ahli UMNO dan beliau bukannya wakil rakyat bebas. Saya selaku Ketua Bahagian UMNO Putatan juga boleh mengesahkan bahawa beliau masih lagi ahli UMNO Putatan kerana perkara berkaitan dengan keahlian UMNO di bahagian Putatan adalah tugas saya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan daripada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Akta Anti Lompat Parti yang dibentangkan boleh diguna pakai untuk mengosongkan kerusi yang disandang.

Iklan

"Sekiranya beliau menggunakan alasan ini sebagai maksud tersirat bahawa beliau akan berhijrah ke parti lain itu hak peribadi masing-masing.

"Tetapi suka saya ingatkan jika berbuat demikian, maka Akta Anti Lompat Parti yang telah dibentangkan di parlimen pada 28 Julai 2022 dan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 25 Mei 2023 adalah diguna pakai dan beliau harus mengosongkan kerusi parlimen dan juga DUN beliau.

Iklan

"Saya dengan ini meminta penjelasan serta tunjuk bukti bahawa beliau digantung atau digugurkan daripada UMNO serta untuk menjelaskan pendirian beliau dan jangan berlengah dalam menyatakan pendirian sebenar beliau.

"Untuk menyatakan hasrat sokong sesiapa itu terpulang padanya, itu hak masing-masing tetapi proses perlembagaan dan proses Akta Anti Lompat Parti mesti ditegakkan," katanya.

Sinar Harian pada 30 Julai lalu melaporkan Ahmad Zahid memaklumkan penggantungan keahlian UMNO yang dikenakan terhadap Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat dibuat secara dalaman.