KUALA LUMPUR - Menjelang ambang ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, komuniti perniagaan memujinya, menyifatkan prestasi pentadbiran baharu yang terdiri daripada campuran ahli politik yang berpengalaman dan yang baharu sebagai baik, walaupun masih terdapat ruang kepada penambahbaikan.
Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China Tan Yew Sing memberikan gabungan itu enam markah daripada 10, menyatakan ia telah menetapkan peraturan dasar yang sesuai walaupun berada dalam keadaan yang amat sukar.
"Mereka ternyata luclus, lihat beberapa perkara yang mereka telah lakukan, ia sebenarnya sukar dan pembaharuan institusi adalah yang paling sukar,” katanya kepada Bernama News Channel di Astro 502.
Tan lebih murah hati daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memberikan hanya lima daripada 10 markah kepada Kabinetnya.
Tan berkata hampir setahun dalam penggal pertama mereka mentadbir negara, kerajaan PH telah melaksanakan kira-kira satu pertiga daripada janji-janji ekonomi mereka, dan paling ketara langkah pantas memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan.
Walaupun terdapat rasa tidak puas hati, kerajaan PH masih mempunyai empat tahun untuk menyelesaikannya, katanya.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa kerajaan PH akan bertambah baik seiring dengan masa, tetapi untuk mencapainya ia perlu mengekalkan momentum dan menyebarkan kejayaannya dengan jelas kepada rakyat untuk membina keyakinan terhadap prestasi kerajaan.
Tan berkata PH berhak mendapat pujian kerana menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada amalan demokrasi tanpa mengira kaum atau agama.
"Banyak perubahan rejim yang baharu mengalami kesukaran pada tahun pertama, tetapi mereka perlu mempunyai keazaman politik untuk menyakinkan majoriti penduduk,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr. Ong Kian Ming berkata Malaysia terus menjadi destinasi pilihan kepada pelabur asing sejak PH mengambil alih pentadbiran negara pada Mei tahun lepas walaupun persekitaran global yang mencabar.
Beliau berkata peningkatan kecil jumlah pelaburan sebanyak RM200.1 bilion, termasuk pelaburan langsung asing antara RM50 bilion dan RM80 bilion, menjadi bukti kepada keupayaan kerajaan untuk membantu Malaysia berkembang.
Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun angka yang baik dicatatkan, kementerian masih menghadapi beberapa cabaran.
"Antara cabaran utamanya, ialah menghadapi ketegangan perdagangan di seluruh dunia, dan juga banyak tindak balas terhadap globalisasi.
"Pada masa sama, kita perlu cuba memanfaatkan peluang ini terutamanya dengan ketegangan perdagangan AS-China untuk melihat sama ada kita akan dapat pelabur yang baik untuk mempelbagaikan operasi mereka dan datang ke Malaysia, sama ada mereka syarikat China, atau syarikat Amerika Syarikat atau Eropah yang mempunyai operasi di China," kata Ong.
Beliau berkata menjadikan Malaysia sebagai negara perdagangan dan industri utama merupakan agenda utama kementerian. -Bernama