DBKL keluar 58 kompaun, premis kotor diarah tutup

Iklan
Pemeriksaan premis makanan menerusi Operasi Sepadu Bersih pada Rabu. - Foto FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Sebanyak 58 kompaun dikeluarkan terhadap 32 premis makanan yang diperiksa menerusi Operasi Sepadu Bersih dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL menerusi kenyataan berkata, operasi itu dilaksanakan di sekitar kawasan Parlimen Titiwangsa, Kepong, Wangsa Maju dan Cheras membabitkan 46 anggota diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Jabatan Kesihatan Dan Alam Sekitar DBKL, Mazlan Daham.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kompaun yang dikeluarkan itu meliputi pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016 dan Undang-Undang Pelesenan Penjaja WPKL 2016.

"Antara kesalahan dilakukan termasuk perniagaan tanpa lesen, tiada suntikan tifoid dan menghadiri kursus mengendali makanan, perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik.

Iklan

"Pemilik juga didapati gagal memastikan lantai dan dinding dalam keadaan bersih, terdapat hurungan lipas serta tidak menggunakan bahan pembungkus bekas makanan dari produk biodegradasi," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, kompaun turut dikeluarkan kepada premis yang menjalankan kerja pencucian (pinggan mangkuk) di luar premis serta meletakkan bahan makanan juga perkakas dan alat kelengkapan memasak di atas lantai.

Iklan

Selain itu katanya, satu premis telah dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"DBKL akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak-kehendak kesihatan yang telah ditetapkan," katanya.