SEREMBAN - Dua wanita mendakwa kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan tinggi oleh sebuah syarikat pelaburan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima laporan dua hari lepas daripada wanita berusia 44 tahun yang mendakwa melihat satu akaun TikTok menawarkan pelaburan emas pada Mac lepas.
"Mangsa yang berminat kemudian menghantar pesanan mesej kepada penama akaun berkenaan dan dimaklumkan pelaburan itu menawarkan pulangan lumayan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum membuat 27 transaksi ke dalam satu akaun bank keseluruhan berjumlah RM621,800.
"Mangsa mendakwa mendapat keuntungan sebanyak RM20,000 sahaja dan tidak mendapat apa-apa keuntungan selepas itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Dzaffir berkata, mangsa kedua pula membabitkan warga emas berusia 63 tahun yang telah diperkenalkan oleh saudaranya mengenai satu syarikat pelaburan beralamat di Kuala Lumpur pada Jun 2020.
Menurutnya, mangsa dijanjikan keuntungan antara 15 ke 17 peratus selama tiga tahun menyebabkan wanita terbabit membayar keseluruhan berjumlah RM500,000 selama enam bulan sejak 3 Julai 2020.
"Mangsa mendakwa pernah menerima keuntungan sebanyak RM6,250. Dia tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan selepas itu dan mendapati syarikat tersebut telah ditutup,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dan menyemak pendaftaran syarikat terbabit dengan Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia. - Bernama