'Pengundi Ampangan tahu saya dianiaya' - Mohamad Rafie

Iklan
Mohamad Rafie (tengah) pada sidang akhbar di pejabatnya di Seremban 2 pada Khamis.

SEREMBAN - Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa pengundi di kawasan itu mengetahui keputusannya bertanding atas tiket Bebas disebabkan dianiaya oleh individu tertentu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah penyandang DUN itu berkata, kebanyakan pengundi turut meluahkan rasa simpati atas apa yang berlaku dan pada masa sama masih mengharapkan khidmatnya.

Iklan
Iklan

"Semua pengundi yang saya jumpa, tiada seorang pun yang serang dan keluarkan kata-kata tak baik kepada saya disebabkan bertanding Bebas.

"Malah mereka katakan faham dengan keputusan saya itu kerana tahu saya telah dianiaya," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Seremban 2 pada Khamis.

Iklan

Disebabkan itu katanya, beliau yakin pengundi Ampangan akan terus memberi dukungan kepadanya untuk terus berkhidmat di situ meskipun sebagai wakil rakyat Bebas.

Tambah beliau, prestasinya selama sepenggal sebagai ADUN di kawasan itu juga telah dibuktikan dengan pembangunan dilakukan yang jauh lebih baik berbanding di tempat lain.

Iklan

"Malah saya tidak berdepan dengan apa-apa isu integriti. Jadi jangan mempersendakan kebijaksanaan rakyat.

"Saya mohon pengundi Ampangan jangan nilai berdasarkan logo parti, tetapi nilai calon atau individu yang bertanding," katanya.

Tambah Mohamad Rafie, beliau juga yakin mampu membawa masa depan Ampangan kepada lebih baik berdasarkan kepada pengalaman dan pendidikan yang ada selain telah dibuktikan sepanjang berkhidmat di situ.

Dalam pada itu beliau menafikan telah berpatah arang dengan PKR yang telah diasaskannya bersama beberapa pemimpin lain ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam penjara.

"Saya merupakan pengasas parti ini dan berperanan sebagai pemain utama untuk membentuknya. Jadi jangan perkecilkan saya.

"Kebanyakan parti yang ada sekarang dilihat seolah-olah parti milik individu yang berkuasa bukannya milik semua. Jadi kita kena ubah perkara ini," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Mohamad Rafie mendakwa namanya digugurkan atas arahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Malah beliau mendakwa tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Sembilan berikutan ada individu tergugat dengan kehadirannya dalam kerajaan negeri.

DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie dengan calon Pakatan Harapan (PH), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ghazali Zainal Abidin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pemilihan calon PRN Negeri Sembilan telus, ikut proses ditetapkan parti'

Mohamad Rafie dakwa namanya gugur atas arahan Rafizi, Aminuddin

Tanding Bebas, keahlian Rafie automatik gugur - Aminuddin

Rafie sah bertanding Bebas di DUN Ampangan

'Ada individu tergugat dengan kehadiran saya' - Rafie

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!