KUALA LUMPUR - Kerajaan mengulangi komitmen bagi mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kepelbagaian dan memperkasakan wanita untuk berkembang maju dalam sektor rel.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau percaya bahawa kepelbagaian bukan sekadar kata kunci tetapi ia merupakan pemacu penting inovasi dan kemajuan.
"Kita mesti memastikan bahawa wanita mempunyai akses yang sama kepada peluang, tidak kira dalam kejuruteraan, operasi, pengurusan atau mana-mana aspek lain dalam industri rel.
"Justeru, kita berpandangan penting untuk melibatkan lebih ramai wanita kerana ia juga menjana peluang pekerjaan yang baik kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Persidangan Women in Rail (WIR) Malaysia 2023 di Bukit Bintang Kuala Lumpur pada Khamis.
Anthony berkata, usaha dan komitmen WIR dalam menaikkan martabat wanita selain memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah dan universiti berhubung projek rel antarabangsa disifatkan baik dan terpuji.
Dalam pada itu, Pengasas WIR, Natasha Zulkifli pula menekankan penting untuk mengadakan persidangan atau bengkel bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penglibatan wanita dalam sektor rel tersebut.
Jelasnya, negara mempunyai banyak wanita yang berbakat tetapi peluang untuk berkembang dalam sektor tersebut masih berkurangan, jadi perlu komitmen terutama dalam menyedarkan golongan lelaki.
"Beri peluang kepada wanita untuk memegang jawatan penting seperti pengurus atau pengarah projek.
"Jadi kita tak boleh bergantung kepada sektor swasta, kerajaan juga perlu membantu memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya penglibatan wanita dalam sektor rel," ujarnya.