PH perlu sokongan seluruh rakyat

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media khas sempena setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan mesti bekerja keras untuk memastikan setiap orang puas hati dengan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam satu temu bual khas sempena setahun pemerintahan PH, di sini, Perdana Menteri berkata semua orang fikir kerajaan hanya menjaga kepentingan kaum lain dan bukan kaum mereka.

Iklan
Iklan

"Tetapi hakikatnya kita memberi perhatian kepada semua kaum, kita harus memastikan setiap orang sedikit sebanyak akan berpuas hati.

"Jika PH hilang sokongan orang Melayu, kita akan kalah. Jika PH hilang sokongan kaum Cina, pun kita akan kalah. Dan, malahan kaum India pun memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan PH. Kita perlu lebih berhati-hati,” kata beliau.

Iklan

Mengulas pernyataan bahawa gabungan PH memiliki jiwa Melayu-Islam dengan pendirian politik memecah belah, Mahathir berkata hakikatnya adalah rakyat Malaysia pada amnya sangat mengambil berat soal kaum.

"Kita telah banyak bercakap mengenai perpaduan, menjadi bangsa Malaysia dan semua itu, tetapi semua orang masih juga bercakap tentang kaum mereka sendiri. Menteri-menteri yang hendak menarik sokongan kaum mereka mesti membangkitkan isu ini dalam kerajaan,” kata beliau.

Iklan

Memetik contoh beberapa isu yang diperbalahkan seperti kuota kemasukan ke program matrikulasi dan Statut Rom, Mahathir berkata kedua-dua isu tersebut telah"digembar-gemburkan" dan"diputar belit”.

Beliau menjelaskan bahawa program matrikulasi diwujudkan selepas kerajaan mendapati orang Melayu tidak mengambil peperiksaan Sijil TInggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan oleh itu tidak dapat masuk ke universiti.

"Jadi, kita buka pintu belakang untuk mereka. Isunya sekarang adalah kenapa hanya orang Melayu sahaja (boleh masuk matrikulasi), orang lain yang lebih baik keputusan mereka, kenapa tidak mendapat tempat?

"Jadi, sekarang kita setuju untuk memberi tempat kepada bukan Melayu juga. Tujuan (asal) kita mahu meningkatkan kemasukan para pelajar Melayu ke universiti menerusi matrikulasi jadi terbatal, kerana walaupun kaum Cina dan India pun masuk ikut pintu belakang, mereka tetap tidak puas hati,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perkara itu tidak pernah berbangkit sebelum ini tetapi kini dimainkan dan dikutip pula oleh media.

"Dan rakyat merasakan kerajaan pilih kasih dengan melebihkan orang Melayu. Tetapi jika kita tanya orang Melayu dan orang Islam, mereka akan kata bahawa kerajaan tidak memberi perhatian berat kepada mereka dan tidak menegakkan Islam. Kita juga perlu menyedari akan perkara itu,” kata beliau.

Mahathir juga menegaskan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti dengan Statut Rom, dan itu telah diputar belit sehinggakan kerajaan terpaksa berpatah balik dalam keputusannya meratifikasi Statut Rom.

"Setiap orang ada masalah, bukan sahaja orang Malayu atau orang Islam. Orang Cina pun ada masalah, berkaitan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), sekolah-sekolah Cina, universiti untuk orang Cina, Masalah kaum India.

"(Tetapi) kita dapati sekiranya kita melayan hanya satu kaum, kita akan berdepan dengan masalah. Kita akan cuba secara minimum untuk memuaskan hati setiap orang secara sewajarnya. Tetapi tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua orang,” kata beliau.

Mahathir berkata,"semua itu mengambil masa tetapi ia tidak bererti kerajaan bersikap pasif (tidak berbuat apa-apa).”

"Kita perlu bersedia, berhati-hati dalam apa juga tindakan dan percakapan kita, dan apa penyelesaian yang kita capai,” kata beliau. - Bernama