PUTRAJAYA - Tindakan undang-undang yang diambil seorang peguam bagi mencabar pengenaan levi pelepasan terhadap rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara berakhir pada Khamis setelah gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan menolak permohonan R Kengadharan untuk kebenaran meneruskan rayuannya.
Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Nallini berkata, undang-undang mengenai pengenaan levi pelepasan adalah sah.
Beliau berkata, Akta Levi Perlepasan 2019 tidak menjejaskan hak seseorang untuk ke luar negara, sambil menambah bahawa akta itu hanya mengenakan cukai levi kepada seseorang yang ke luar negara.
"Keupayaan untuk keluar dari sesebuah negara bukan satu isu. Jadi Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan berhubung hak untuk hidup dan kebebasan peribadi tidak terlibat,” katanya sambil menambah Kengadharan tidak boleh diberi kebenaran untuk merayu kerana gagal memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Nallini berkata, kes Kengadharan bukanlah kes yang sesuai untuk dikaji semula dan mencabar pihak berkuasa undang-undang dalam kes kerajaan Malaysia melawan Loh Wai Kong.
Dalam kes itu 1979 itu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Wai Kong untuk pengisytiharan bahawa warganegara Malaysia mempunyai hak asasi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan untuk ke luar negara.
Dalam saman pemulanya yang menamakan Menteri Kewangan dan kerajaan sebagai defendan, Kengadharan berkata, Akta Levi Pelepasan dan Perintah Levi Pelepasan 2019 adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana akta itu melanggar hak asasinya untuk melakukan perjalanan.
Dalam afidavitnya untuk menyokong saman itu, beliau berkata, sebarang bentuk cukai yang dikuatkuasakan, termasuk terhadap sesiapa yang ingin melakukan upacara keagamaan atau menunaikan haji, adalah melanggar hak kebebasan asasi.
Kengadharan juga berkata, pengenaan cukai pelepasan, sebagai tambahan kepada perkhidmatan sedia ada dan cukai lapangan terbang, akan membebankan serta tidak wajar.
Kengadharan juga berkata, sebarang pengenaan cukai berlepas, sebagai tambahan kepada perkhidmatan sedia ada dan cukai lapangan terbang, akan membebankan dan tidak wajar.
Dalam permohonan kebenaran merayunya, Kengadharan memohon mahkamah memutuskan beberapa persoalan undang-undang, antara lain berkaitan isu kebebasan peribadi di bawah Perkara 5 Perlembagaan.
Berikutan keputusan hari ini, undang-undang yang mengenakan levi berlepas ke atas individu yang ke luar negara, yang telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 2019 di bawah kerajaan Pakatan Harapan, kekal.
Peguam A Srimurugan dan Dr Shamsher Singh Thind mewakili Kengadharan manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Menteri Kewangan dan kerajaan. - Bernama