SHAH ALAM - Sebanyak 183 projek perumahan swasta melibatkan 21,888 unit rumah dalam kategori lewat, sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan sehingga Jun dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM17.19 bilion.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peratusan projek perumahan swasta lewat dan sakit berjaya dipulihkan sehingga kembali lancar dan menerima Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2023 adalah sebanyak 178 projek (20,926 unit rumah) dengan nilai GDV sebanyak RM16.75 billion.
"Manakala, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan sebanyak lima projek terbengkalai (962 unit rumah) dengan nilai GDV sebanyak RM441.84 juta," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata ditemui pada sidang media berkaitan status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di ibu pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini pada Khamis.
Secara keseluruhan beliau berkata, sebanyak 108 projek perumahan swasta dilaporkan lewat dilaksanakan, 459 projek didapati sakit manakala 114 projek disahkan terbengkalai sehingga pertengahan tahun ini dengan pertambahan dua lagi projek berbanding bulan Mei.
Katanya, dua projek itu adalah projek perumahan Desa Rhu Redang dan Desa Salam di Marang, Terengganu.
"Kesemua projek lewat, sakit dan terbengkalai yang terkini ini juga membawa nilai pembangunan kasar (gross development value, GDV) sebanyak RM80.25 bilion," katanya.