KPKT setuju batalkan tiga projek sakit

Iklan
Akmal Nasrullah (tengah) bersama kakitangan SPNB di Pejabat SPNB, Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) setuju untuk membatalkan tiga projek sakit di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melalui Langkah Penstrukturan Projek Sakit Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Ketiga-tiganya melibatkan Projek Perumahan Makmur Karak Setia, Bentong di Pahang; Residensi Lanar, Seremban di Negeri Sembilan dan Taman Nusa Idaman, Kuala Ping di Terengganu membabitkan projek fasa satu dan dua yang dilihat tidak berdaya maju untuk diteruskan.

Iklan
Iklan

Timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu dibuat SPNB selepas mengenal pasti projek-projek berkenaan hanya dapat dijual 50 unit daripada keseluruhan 766 unit, selain faktor lain seperti Projek Perumahan Makmur Karak Setia yang dilihat tidak sesuai lagi dibangunkan selepas banjir besar di kawasan tersebut.

"Insiden ini membabitkan perubahan yang ketara pada keadaan sekeliling, contohnya ban yang memisahkan dengan sungai di kawasan itu berlaku kerosakan yang besar menyebabkan tapak pembinaan di perumahan ini turut terjejas.

Iklan

"Jadi, dari segi kesesuaian untuk kita membina projek perumahan ini tidak sesuai selagi mana isu ban dan sebagainya tidak diselesaikan terlebih dulu. Jika mahu diteruskan juga, ia sudah tidak sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berkaitan status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di ibu pejabat SPNB di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk N Jayaselan.

Akmal Nasrullah menambah, sehubungan itu projek berkenaan perlu ditangguhkan terlebih dahulu sehingga masalah ban dapat diselesaikan.

"Ketika itu, sama ada SPNB mahu bangunkan sendiri projek ini atau mengguna pakai kaedah yang lain akan diputuskan oleh pengurusan mereka sendiri," katanya lagi.

Akmal Nasrullah berkata, sebelum membuat pembatalan, SPNB sudah berunding dengan pembeli dan hampir semua bersetuju untuk membatalkan pembelian mereka.

"Mungkin ada satu, dua pembeli yang dalam proses untuk kita berunding. Segala bayaran yang dilakukan oleh pembeli sebelum ini akan dipulangkan selain SPNB akan turut memberikan sedikit pampasan kepada mereka.

"Kita yakin langkah membatalkan tiga projek sakit ini mampu memberi ruang kepada SPNB untuk memberi fokus menyiapkan tujuh projek sakit yang berbaki dengan sasaran penyiapan pada suku pertama tahun 2024," katanya.