Operator kilang terjatuh elak bangkai anjing, maut dilanggar Myvi

Iklan
Mangsa terjatuh sebelum dilanggar sebuah kereta ketika cuba mengelak bangkai anjing. Gambar kecil: Nur Eliya Ezzatul

MELAKA - Seorang operator kilang wanita maut dilanggar sebuah kereta selepas terjatuh ketika cuba mengelak bangkai anjing di Jalan Tun Fatimah di sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian jam 7.50 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nur Eliya Ezzatul Rabu, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dari arah Bukit Rambai menghala ke Batu Berendam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja telah hilang kawalan ketika cuba mengelak bangkai seekor anjing yang berada di tengah jalan.

"Mangsa telah terjatuh di atas jalan dan pada masa itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan yang dipandu wanita berusia 31 tahun tidak dapat mengelak lalu melanggar mangsa.

Iklan

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Iklan

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.