TANAH MERAH - Pembinaan sembilan kiosk perniagaan di Dataran Batang Merbau di sini dianggap membazir kerana didakwa tidak mendapat sambutan peniaga setempat.
Kiosk sepanjang kira-kira 1.9 meter yang siap dibina dua tahun lalu itu turut didakwa menghalang peniaga di bahagian belakangnya.
Peniaga kedai runcit, Zainab Daud, 62 berkata, ada pelanggannya mengadu kiosk yang ditempatkan di dataran itu menyebabkan mereka sukar meletakkan kenderaan untuk membeli barang di kedainya dan pasar berdekatan.
"Mereka turut mengadu lorong berhadapan kedai ini menjadi sempit terutama ketika pasar malam yang diadakan sekali seminggu," katanya.
Zainab yang lebih 40 tahun berniaga di situ memberitahu, dataran itu juga kurang menjadi tumpuan untuk aktiviti masyarakat.
Sementara itu, penduduk berdekatan dataran terbabit, Mustapha Kamal Che Hassan, 48, berkata, dia memberi ruang kepada peniaga pasar malam berniaga di hadapan rumahnya.
Katanya, ia bagi membolehkan peniaga tidak berkurang dan suasana lebih meriah.
"Sebelum ini perniagaan pasar malam meriah dengan 30 gerai berikutan tapak yang luas selain menjadi lokasi aktiviti masyarakat.
"Bagaimanapun kini hanya lima peniaga sahaja yang masih bertahan dan suasana juga tidak semeriah sebelum ini," katanya.