Umar ketujuh terbaik di Chengdu

Iklan
Umar (kanan) ketika beraksi dalam saingan final 400m Universiade di Chengdu, China pada Khamis.

IMPIAN bintang olahraga negara, Umar Osman untuk menaiki podium dalam acara final 400 meter (m) Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China pada Khamis tidak kesampaian.

Pelari dari Johor itu terpaksa berpuas hati dengan catatan masa 46.41 saat (s) untuk berada di tempat ketujuh daripada lapan peserta.

Iklan
Iklan

Dalam saingan itu Umar yang ditempatkan di lorong satu dilihat sukar untuk meluru lebih pantas ke hadapan dan sekadar sempat memintas pelari Jepun, Kenki Imaizumi.

Bagaimanapun pujian wajar diberikan kepada Umar kerana masih konsisten dengan catatan masanya selepas mencipta sensasi memecahkan rekod kebangsaan dua kali ketika pusingan pertama, 46.33s dan separuh akhir, 46.09s sebelum ini.

Iklan

"Saya tak jangka terpaksa berlari di lorong paling dalam kerana saya lebih suka di lorong lapan tetapi apa nak buat terpaksa teruskan.

"Saya minta maaf tak dapat menyumbang pingat. Ini pengalaman paling berharga untuk saya,” ujar Umar.

Iklan

Ia adalah kali ketiga Umar memecahkan rekod kebangsaannya dalam tahun ini sejak kali pertama melakukannya dengan masa 46.34s, memadam rekod lama 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin di Kemboja pada Mei lalu.

Pingat emas 400m Universiade Chengdu menjadi milik Joao Ricardo Agostinho Coelho dari Portugal dengan rekod baharu kejohanan - 44.79s.

Pelari Australia, Reece Nathaniel Holder pula terpaksa akur meraih pingat perak menerusi penentuan photo-finish, manakala gangsa menjadi milik atlet Romania, Mihai-sorin Dringo dengan masa 46.27s.