KUALA KETIL - Perpecahan dalam kalangan undi Melayu bukan salah DAP, kata Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Beliau lebih dikenali sebagai Papa Gomo berkata, DAP bukan parti yang kuat namun bangsa Melayu sendiri berpecah hanya disebabkan perbezaan politik.
Menurutnya, pada PRU14, undi Melayu berpecah kepada lima parti.
"DAP menang dengan mendapat sokongan, salah mereka atau salah kita? salah kita!
"Ini hikmah ALLAH nak bagi, selepas PRU, tak sampai lima bulan orang Melayu dah bersatu," katanya dalam Himpunan Aman Kebangkitan Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil hari ini.
Katanya, agenda utama penyatuan ummah ialah bagi membentuk kerajaan Bumiputera.
"Bagaimana nak tolak DAP keluar? Bagaimana? kita kena bersatu dahulu. Bila kita sebut penyatuan ummah ketepikan ideologi politik.
"Ini bukan soal Umno, Pas, Bersatu, PKR dan Amanah, bukan. Ini soal penyatuan ummah kita," katanya.