PENAMAAN calon bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah selesai, kini tinggal hari pengundian awal pada 8 Ogos dan kemuncaknya, 12 Ogos ini.
Ketika ini sudah tentu suasana enam negeri terbabit ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu meriah dengan kempen sana-sini dan perang bendera.
Di Pulau Pinang misalnya, kehangatan pilihan raya sudah terasa dengan pertembungan dua gabungan besar iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang sedang bertungkus-lumus menyakinkan pengundi untuk mendapatkan sokongan.
Daripada keseluruhan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, sebanyak 29 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon kedua-dua parti politik berkenaan.
Sementara sebanyak tujuh kerusi DUN Pulau Pinang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan pertandingan empat penjuru bakal berlangsung di empat kerusi.
Selain PH dan PN, calon daripada parti lain iaitu Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang akan bertanding di lima kerusi; parti Muda (dua); Penang Front Party atau PFP (dua) dan calon Bebas (dua) juga tidak boleh dipandang rendah.
Bermula 29 Julai lalu, sebaik penamaan calon, semua yang bertanding mula menyusun strategi menjalankan siri kempen mereka.
Calon-calon padat dengan program yang disusun setiap hari, kebanyakannya melibatkan program jelajah mesra, mengedarkan risalah, ceramah politik dan aktiviti beriadah.
Masa inilah peluang orang ramai melihat lebih dekat bakal-bakal wakil rakyat mereka, boleh bergurau senda, beramah mesra dan mengajak ‘berselfie’ bersama.
Ada juga yang seronok apabila masa inilah calon-calon sudi datang ke rumah mendengar masalah.
Bukan apa, apabila sudah menang nanti, perkara-perkara tersebut mungkin tidak dapat dilihat lagi kerana kesibukan tugas rutin wakil rakyat yang dipilih, atau mungkin langsung tidak nampak muka sehinggalah pilihan raya seterusnya. Itu pun kalau dipilih bertanding lagi.
Berbalik kepada PRN di Pulau Pinang, daripada pemerhatian penulis, ada sedikit ‘kejanggalan’ apabila aura PH dilihat kurang menyengat berbanding kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Beberapa siri ceramah PH juga tidak semeriah dahulu apabila lebih banyak kerusi kosong berbanding penonton. Sedangkan mana-mana pilihan raya sebelum ini, mana sahaja ada ceramah, pasti ramai penyokong datang berduyun-duyun untuk mendengarnya.
Ada yang mengatakan situasi ini berlaku mungkin disebabkan pertandingan kali ini menyaksikan PH tidak lagi berdepan musuh tradisi apabila bergabung dengan Barisan Nasional (BN) sebagai Kerajaan Perpaduan. Oleh kerana tidak ada lagi ceramah panas ‘membalun’ musuh tradisi itu, maka orang ramai tidak berminat untuk mendengar.
Ada juga yang mendakwa ia sebahagian daripada silent protest (protes senyap) penyokong sama ada PH dan BN kerana sukar menerima kerjasama antara kedua-dua gabungan tersebut.
Tidak kurang yang percaya ‘gelombang hijau’ kini sudah menular ke Pulau Pinang sehingga menenggelamkan aura PH.
Baru-baru ini, tular di media sosial gambar ceramah anjuran PH di Dewan Perniagaan Cina yang menunjukkan separuh daripada kerusi yang disediakan kosong walaupun program telah bermula selama 15 minit.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagaimanapun mengambil positif terhadap isu tersebut kerana dakwa beliau, penonton bangun dan pulang ketika di akhir ceramah politik adalah perkara biasa kerana sudah lewat.
Jelas beliau lagi, kerusi kosong pada ceramah itu disebabkan orang ramai kini lebih gemar menonton secara dalam talian berbanding hadir ke dewan.
Pun begitu, Kon Yeow masih berkeyakinan tinggi bahawa PH akan terus menerajui Pulau Pinang selepas PRN ini kerana dakwa beliau pengundi sudah kenal parti lebih daripada calon.
Walaupun Pulau Pinang dianggap kubu kuat PH, sebenarnya parti itu tidak boleh terlalu over confident untuk terus menjadi kerajaan negeri selepas PRN, sebaliknya perlu melipatgandakan usaha lebih daripada apa yang dilakukan pada PRU-PRU lalu jika mahu menambat hati pengundi.
Selagi pengundi tidak membuat pilihan pada 12 Ogos ini, selagi itu peluang semua parti di Pulau Pinang untuk menang terbuka luas.
Atau erti kata lain, Pulau Pinang bukan tempat selamat bagi PH.
* Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Utara