PENGENDALI skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj menuntut para pemain The Speedy Tigers untuk tampil lebih berdisipilin apabila berdepan China dalam perlawanan kedua Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Chennai, India pada Jumaat.
"Setakat ini kita tidak mendapat maklumat banyak mengenai kekuatan pasukan China.
"Cuma apa yang kita ketahui bahawa para pemain China memiliki saiz fizikal yang besar dan tinggi lampai.
"Saya harap kita dapat tampil lebih kemas dan pantas dalam perlawanan kedua menentang China," katanya.
Dalam pada itu, Arul mengakui The Speedy Tigers masih perlu memperbaiki beberapa perkara segera bagi baki saingan tersebut selepas menewaskan Pakistan di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan pada Khamis.
"Ya, pasukan negara berjaya menewaskan Pakistan 3-1, namun beberapa perkara seperti pergerakan bola, kaki dan mentaliti masih agak kurang memuaskan.
"Para pemain perlu dengan pantas dan bijak melakukan recovering process dalam tempoh 24 jam sebelum perlawanan menentang China.
"Setiap pemain juga perlu mengambil tanggungjawab meningkatkan prestasi diri masing-masing untuk game recovery yang betul," katanya.
Anak buah Arul memastikan aksi pertama kejuaraan tersebut dilabuh dengan tiga mata hasil jaringan Muhammad Firhan Ashaari (minit 28 dan m-29) dan Shello Silverius (m-44), biarpun Abdul Rehman mengurangkan defisit dengan gol minit ke-55.
Sebagai rekod, Trofi Juara-Juara Asia edisi Chennai, selain Malaysia, Pakistan dan China juga menampilkan tuan rumah India, Korea Selatan dan Jepun.