Pemandu lori maut selepas langgar jengkaut

Iklan
Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan maut di tempat kejadian.

BUTTERWORTH - Seorang pemandu lori maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah jengkaut di Kilometer 136.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) berhampiran Seberang Jaya, di sini pada Jumaat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Perai bergegas ke lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika anggota bomba sampai di lokasi kemalangan, didapati lelaki berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri.

"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori jenis 'bonded' dengan sebuah jentera jengkaut.

Iklan

"Kemalangan mengakibatkan pemandu jengkaut mengalami kecederaan pada bahagian kepala manakala pemandu lori tersepit dan keadaan tidak sedarkan diri," katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Katanya, anggota bomba mengambil masa tidak sampai satu jam untuk mengeluarkan lelaki berkenaan yang tersepit.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

"Pemandu jengkaut yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mayat pemandu lori diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 7.44 pagi," katanya.