KELAB Liga M3, Harini Selangor FT, tekad memberi cabaran kepada gergasi Liga Super, Sri Pahang apabila kedua-kedua pasukan berentap dalam pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Malah penjaga gol Harini, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy percaya, para pemain kelab itu dapat memberikan aksi menakjubkan berdepan pasukan pilihan Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad tersebut.
"Ya, sudah tentu kita perlu study game Sri Pahang - gaya permainan, key players - bagi membolehkan pasukan melakukan persiapan lebih rapi.
"Secara jujur saya anggap pasukan Harini Selangor FT, umpama pasukan PJ City FC tahun lalu. Malah pengendali Harini juga merupakan coach PJ City tahun lalu.
"PJ City tahun lalu biarpun dibarisi para pemain lokal tetap mampu beri saingan kepada pasukan Liga Super lain. Jadi lawan Sri Pahang, kami akan cuba berikan yang terbaik dan melakukan kejutan dalam Piala Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Hafizul Hakim akan mengunakan pengalaman beraksi di pentas kompetitif sebelum ini membantu Harini FT kendalian P Maniam meraih keputusan positif.
"Insya-ALLAH, sekiranya diberikan peluang saya akan mencuba sebaik mungkin dengan pengalaman bagi bantu pasukan lakarkan kemenangan.
"Sri Pahang pun momentum berada pada tahap terbaik dibantu para pemain lokal yang bagus serta import berkualiti seperti Kpah (Sherman) dan (Stefano) Brundo.
"Jadi kita kena ambil serius dan bermain sebagai satu pasukan seterusnya buat yang terbaik untuk mengekang asakan daripada pasukan Sri Pahang," katanya.