SHAH ALAM - Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang menghadapi masalah kekurangan perumahan dan tinggal di kawasan setinggan.
PPR yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kerjasama kerajaan tempatan itu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dari segi kos pembinaan manakala tanah pula disediakan oleh kerajaan negeri.
Sebagai tanda mengambil berat atau memulihara projek tersebut, Belanjawan 2023 telah memperuntuk dana hampir RM100 juta untuk menambah baik hidupan harian dan mempergiat lagi aktiviti ekonomi penduduk PPR.
Dalam masa sama, Kerajaan Perpaduan juga sedang giat berusaha ke arah memastikan suasana PPR lebih manusiawi dengan kemudahan yang memanfaatkan komuniti.
Antara peruntukan yang diumumkan semasa Belanjawan 2023 untuk PPR adalah RM50 juta kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan fasiliti utama di PPR dalam keadaan yang selamat dengan menggantikan lif-lif usang.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mempercepat proses, had sebut harga perolehan kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif ditingkatkan kepada RM1.2 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.
Antara lain, kerajaan juga menyediakan RM15 juta untuk menyokong usaha badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan bagi anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.
Selain itu, RM30 juta juga disediakan untuk mempergiat aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Cloud Kitchen di bawah seliaan Yayasan Hasanah.
Capaian Internet percuma
Tambah Anwar, kerajaan juga akan menyediakan capaian Internet percuma di 56 PPR terpilih untuk manfaat komuniti setempat.
Penganalisis sosial, Datuk M. Periasamy berpendapat bahawa, Belanjawan 2023 yang memasukkan bajet khas untuk komuniti PPR yang majoritinya B40, adalah usaha murni kerajaan.
Menurutnya, ia membuktikan kerajaan pada hari ini kekal dengan pendirian yang sering kali diucapkan iaitu ingin menoktahkan kemiskinan.
"Ini merupakan kali pertama kerajaan mengkhaskan peruntukan (Internet) untuk perumahan warga kurang berpendapatan dan kepada NGO untuk bantu adakan kelas pemulihan.
"Ia adalah inisiatif baik dalam memastikan anak-anak kurang berkemampuan terutama dari kalangan komuniti PPR ini tidak tercicir dalam pembelajaran,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan perlu memastikan inisiatif Belanjawan 2023 yang dibentang dan diberikan itu sampai kepada sasarannya.
"Ini kerana pada masa-masa lepas, perancangan yang diumumkan kurang memberi manfaat kepada kumpulan sasaran akibat tidak kecekapan dan penyelewengan.
"Ini yang kena pastikan. Kalau tidak, ia hanya kenyataan politik dan akan dimainkan oleh pihak pembangkang,” ujarnya.
Selain itu, aktivis sosial, Profesor Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, tumpuan kepada usaha penyelenggaraan dan menambahbaik kehidupan masyarakat di PPR adalah satu pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan.
Jelasnya, tumpuan tersebut jelas membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan meletakkan kebajikan golongan B40 sebagai keutamaan mereka.
"Pada kebiasaannya, kebajikan masyarakat golongan ini terabai. Ini adalah usaha yang sangat baik,” tambahnya.
Tepati janji
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kerinchi, Abdul Rahim Ahmad berkata, penggantian lif-lif usang adalah bukti bahawa Kerajaan Perpaduan menepati janji seperti yang diumumkan.
Menurutnya, komitmen kerajaan dalam memperuntukkan bajet bagi PPR adalah usaha untuk tidak mengenepikan komuniti itu.
Tambahnya lagi, setiap insentif yang diberi adalah amat diperlukan bagi memastikan komuniti PPR terbela dan tidak ditindas.
"Kami sangat bersyukur kerana lif digantikan dengan yang baharu. Setiap blok di sini ada tiga lif. Ada yang telah diganti dan ada yang dalam proses.
"Semestinya penghuni berasa lega sebab lif usang ini kita khuatir akan menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini,” ujarnya.
Abdul Rahim juga mencadangkan supaya kerajaan dapat memperuntukkan bakul makanan khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
"Kita ada senarai nama yang patut bantuan. Jadi, saya harap kerajaan datang jumpa pengerusi sendiri bertanya siapa yang layak. Ini jalan mudah.
"Sebab kalau bantuan daripada NGO ini, ada yang tidak adil. Ada yang layak tidak dapat. Badan kerajaan kena turun, jumpa dengan ketua komuniti. Bincang perkara ini,” jelasnya.
REAKSI
"Kemudahan PPR di sini memang sangat bagus. Saya juga bersyukur kerana kerajaan memberikan dana untuk membaiki lif yang sudah usang,” - Pengerusi Persatuan Penduduk Blok F PPR Kerinchi, Semaon Maskor, 62.
"Kawasan PPR rumah saya lengkap dengan pusat Internet dan taman permainan yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh penduduk PPR,” - Penduduk PPR Kerinchi, Muhammad Irfan Waqiuddin Hasanudin, 25.
"Saya sangat bersyukur apabila dapat tahu tersenarai untuk terima manfaat PPR. Bagi fasiliti, kerajaan juga cakna dengan masalah yang dihadapi iaitu lif,” - Penduduk PPR Kerinchi, Normazniza Mat Zin, 51.
"Kemudahan di sini memang semuanya bagus. Fasiliti tiada lebih dan tiada kurang. Cuma satu sahaja masalah iaitu parkir kereta. Banyak kereta lama yang tidak lagi digunakan, dibiarkan sahaja. Ini menyebabkan penduduk kekurangan parkir,” - Penduduk PPR Lembah Subang 2, Rakesh Rao Kistiah, 37.
"Bantuan kerajaan banyak untuk PPR ini. Cuma kekurangan parkir kereta,” - Penduduk PPR Lembah Subang 2, Rajinder Singh, 57.
INFO PENTING:-
* Peruntukan RM50 juta kepada KPKT untuk ganti lif-lif yang telah usang.
* Had sebut harga penyelenggaraan, pembaikan ditingkatkan kepada RM1.2 juta daripada RM500,000 sebelum ini.
* RM15 juta untuk menyokong usaha NGO mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak tercicir dalam pembelajaran.
* RM30 juta bagi mempergiat aktiviti ekonomi rakyat.
* Kerajaan akan sediakan capaian Internet percuma di 56 PPR terpilih.
* RM367 juta untuk beberapa projek PPR baharu yang memberi manfaat kepada 12,400 bakal penghuni baharu.