KEMENANGAN mengejutkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di tempat sendiri oleh Perak FC disifatkan sebagai sesuatu yang membanggakan.
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui amat berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya membenam KDA FC 3-1 di hadapan penyokong sendiri.
Menurutnya, biarpun ketinggalan ketika permainan baru bermula 36 saat, pemain tidak putus asa untuk mencari kemenangan yang sangat berharga.
"Apa yang boleh saya katakan ini merupakan kemenangan yang amat bermakna buat kita sungguhpun kita ada bekalan dua gol untuk dibawa pada 18 hari bulan nanti, tapi sesungguhnya ia belum mencukupi. Kita risau 90 minit yang akan berada di Darul Aman.
"Sesungguhnya saya pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana apa yang mereka buat malam ini adalah superb perfomance dan beraksi seperti mana yang saya inginkan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Perak malam tadi.
Mengenai prestasi penyerang baharu mereka, Luka Milunovic, Yusri mengakui impak yang diberikan pemain import itu biarpun menerima kritikan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Jelasnya, begitu juga dengan kehadiran semula Firdaus Sayadi di dalam pasukan yang berjaya merencanakan sesuatu seterusnya membawa kemenangan berharga buat Perak FC.
"Saya rasa dah lama tak menang di Ipoh dan berturut-turut susah nak menang. Saya tak ada pemain pilihan pun. Ini pasukan sebaik mungkin yang saya terpaksa turunkan dan saya tahu perlawanan malam ini sangat penting kerana mahu memberikan kemenangan buat peminat.
"Dengan kemenangan malam ini, saya harap ia dapat menggamit penonton untuk perlawanan seterusnya menentang Pulau Pinang pada 9 Ogos nanti," katanya.