Iklan perayaan harus dikawal, elak pembaziran

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Undang-undang perlu digubal dalam membendung pengiklanan dan promosi perayaan agama secara berlebihan sehingga mengakibatkan pengguna melakukan pembaziran, kata Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa berusaha membendung dari agama diperguna untuk dikomersialkan oleh pihak tertentu yang mahu mendapatkan keuntungan berlebihan ketika musim perayaan.

Iklan
Iklan

"Kami mendapati bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri dieksploitasi sepenuhnya untuk dikomersialkan sewenang-wenangnya oleh pengusaha.

"Akibatnya tujuan ibadah berpuasa yang dituntut agama telah dicemari oleh keghairahan untuk berbelanja dan melayan keinginan nafsu membeli," katanya pada sidang media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.

Iklan

"Pihak MPPN kesal apabila rekod tahunan pembuangan makanan bulan Ramadan mencecah 620,000 metrik tan sementara rakyat selalu bersungut mengenai kos harga makanan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata kawalan untuk pengiklanan dan promosi bulan perayaan bukan hanya untuk umat Islam sahaja tetapi juga bagi sambutan Hari Natal, Deepavali dan lain-lain perayaan agama agar tidak terlalu dikomersialkan.

Iklan

Merujuk kepada Sri Lanka contohnya, negara itu telah mengambil pendekatan dengan melarang promosi dan iklan berlebihan sempena perayaan agama untuk mengelak agama digunakan untuk tujuan keuntungan, katanya.

Beliau berkata MPPN telah menyuarakan perkara itu kepada Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan beliau mengambil maklum mengenainya. -Bernama