PADANG TERAP - Barisan Nasional (BN) kini dilihat berjaya menembusi beberapa kawasan hitam dan sukar dimasuki di seluruh Kedah.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkembangan ini menunjukkan BN makin mendapat momentum sokongan di negeri ini.
Beliau berkata, 'aura' keinginan rakyat Kedah kembali kepada BN dapat dirasakan meskipun pihak lawan sering bercakap mengenai gelombang menyebelahi Perikatan Nasional (PN).
"Di 15 kerusi BN bertanding, momentum sokongan itu nampak meningkat, seolah-olah terdapat aura untuk orang datang balik kepada BN.
"Kita tahu mereka mengharapkan gelombang seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu tetapi di sebalik semua itu, kita nampak ada momentum pula kepada sebelah sini (BN),"katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita ketika kempen di Pedu, dekat sini, petang Khamis.
Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu menyifatkan, momentum sokongan kepada BN berkenaan disebabkan parti selama ini bekerja kuat bekerja mendekati rakyat di bawah.
"Di Kedah, kami menganggap diri sendiri sebagai 'underdog' kerana menentang pihak yang sebelum ini menjadi kerajaan negeri,"katanya
Bagaimanapun, beliau yakin dengan kebijaksanaan rakyat Kedah untuk memilih calon mampu bekerja berbanding golongan hanya bersifat populis.
"Rekod perkhidmatan sudah tentu diambil kira dan kalau undi itu dibuat atas dasar populis, belum tentu kita boleh capai perkara yang rakyat mahukan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan jentera dan penyokong BN agar tidak terikut-ikut dengan rentak dimainkan pihak lawan yang menggunakan kata-kata kasar dalam ceramah dan kempen mereka.