KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu pengalaman Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi@Mardi Himal, Nepal dibukukan selepas pendakian itu berakhir.
Baginda bertitah, ini bagi menjadikannya sebagai sumber rujukan, pengajaran dan boleh dipraktikkan oleh pasukan pendaki negara pada masa akan datang.
"Kita jadikan misi (pendakian) ini sebagai misi pengajaran. Kita membawa balik (pengalaman) dan praktis serta boleh beri pembelajaran kepada semua pendaki akan datang.
"Mungkin disatu masa (negara) boleh menyediakan pasukan penyelamat (dengan) memberi bantuan kemanusiaan ke negara lain yang menghadapi masalah atau bencana di kawasan pergunungan.
"Jadi, saya percaya misi ini akan mengharumkan nama Malaysia apabila kita dapat mewujudkan satu pasukan penyelamat daripada JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat) yang terkenal di rantau ini dan dunia," titah baginda.
Baginda bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat dan menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat Altitud Tinggi @Mardi Himal, Nepal sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 KDYMM Sultan Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada Jumaat.
Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan exco kerajaan Pahang.
Seramai 50 pendaki daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, Kelab Media Pahang, Pejabat Sultan Pahang, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyertai ekspedisi ke Mardi Himal Base Camp di ketinggian 4,500 meter mulai 7 Ogos dan dijangka berakhir pada 17 Ogos 2023.
Al- Sultan Abdullah menzahirkan perasan bangga apabila dapat bertemu 50 pendaki yang terlibat dalam ekspedisi itu.
Baginda menyifatkan kesemua pendaki dipilih bertuah kerana sudah berjaya melepasi pelbagai latihan yang rafi sebelum ekspedisi tersebut bermula.
"Saya rasa sedih dan cemburu juga dari hati saya kerana tidak dapat bersama (dalam ekspedisi ini) kerana faktor umur, lutut sakit, tapi semangat hendak pergi itu ada," titah baginda.
Seri Paduka dalam titah baginda menasihatkan semua pendaki berada dalam kumpulan dan saling bertanya khabar antara satu sama lain.
"Kalau boleh jaga rakan kita yang terdekat supaya mereka tidak ketinggalan. Ini mustahak kerana kita dalam satu pasukan.
"Jaga nama baik Pahang dan Malaysia supaya ia dapat dicontohi oleh ramai anak muda di Pahang.. Insha-ALLAH," titah baginda.
Pendaki ke Mardi Himal, Nepal sudah jalani latihan intensif
Dalam pada itu, 50 peserta Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi @Mardi Himal, Nepal yang bermula 7 hingga 17 Ogos ini sudah memulakan latihan intensif sejak tiga bulan lalu.
Ketua ekspedisi yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, latihan itu perlu dilakukan kerana cuaca di negara Nepal pada tahun ini tidak menentu dan lebih mencabar.
"Oleh itu, kesemua pendaki ini dipilih melalui beberapa saringan ujian ketahanan fizikal dan mental yang telah dilaksanakan.
"Sebelum itu, latihan dan pemilihan pusat diadakan di Gunung Bunga Buah, Genting Highland; pendakian Pine Tree Hill, di Fraser Hill; pendakian tangga, di Menara Kuala Lumpur atau KL Tower dan pendakian Menara Kuantan 188.
"Latihan berkala individu dan berpasukan juga diadakan saban hari semenjak tiga bulan yang lalu," katanya.
Nor Hisham berkata, bagi meningkatkan keselamatan pendaki, komposisi pendaki juga diimbangkan dengan memperincikan kepada nisbah keperluan bersandarkan kepakaran.
Jelasnya, ia merangkumi kepakaran dalam bidang penyelamatan, rawatan awal, rawatan pakar selain disokong oleh atur selia pengurusan dan pelaporan.
"Alhamdulillah, dengan kesungguhan pendaki dan urusetia bersedia membawa nama Malaysia ke persada pendakian gunung ke peringkat antarabangsa dalam merealisasikan Ekspedisi pada kali ini.
"Patik juga menyembah mohon agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berdua (Al- Sultan Abdullah dan Tunku Azizah) dan sekalian yang hadir untuk turut sama-sama mendoakan akan kejayaan dan keselamatan pacal-pacal pendaki," katanya.
Ekspedisi ini akan ke Mardi Himal Base Camp di ketinggian 4,500 meter.
Pendaki yang terlibat terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kelab Media Pahang, Pejabat Sultan Pahang, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Kementerian Kesihatan Malaysia.