BANGI - Proses undang-undang telah diambil terhadap segelintir pihak pembangkang yang didakwa cuba memburukkan imej dan pencapaian Kerajaan Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya dan anak syarikat terbabit mendapati sebahagian dakwaan yang dibuat bersifat tuduhan liar yang memberi persepsi salah.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci individu yang bakal menerima surat tuntutan berkenaan.
"Malahan, cubaan pihak lawan untuk memburukkan pencapaian kerajaan (Selangor) terutama dari segi pencapaian ekonomi sebelum permulaan kempen lagi tetapi tidak berjaya.
"Hari ini mereka yang terdesak terpaksa mengitar beberapa isu yang telah dijelaskan secara tuntas di dalam (sidang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Insya-ALLAH satu atau dua hari lagi beberapa surat-surat tuntutan akan sampai dan saya percaya kerana ia merupakan satu fitnah yang dilemparkan semata-mata untuk mencarik imej Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tekad Insan #Kita Selangor, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengerusi Harapan Negeri Selangor itu berkata, isu lokal masih menjadi fokus Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Begitu pun, calon PH DUN Sungai Tua itu mendakwa Perikatan Nasional (PN) yang sebenarnya tidak mempunyai isu lokal untuk dimainkan dan terpaksa mengulangi isu yang pernah dibangkitkan.
"Sudah tentu ketentuannya adalah untuk menentukan hala tuju negeri. Tetapi bagaimana negeri nak dibangunkan juga harus ada kaitan dengan isu Persekutuan.
"Apa yang terjadi dalam masalah PN, mereka tak ada isu negeri (tetapi) yang ada cuma fitnah dan kitaran isu yang pernah dibangkitkan dan dijawab serta juga mengulang benda yang sedikit sebanyak ditangani di peringkat Persekutuan," ujarnya lagi.
Beliau juga percaya kempen yang berbaki sekitar seminggu lagi mampu digunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan tawaran-tawaran PH-BN yang setakat ini katanya, telah mendapat sambutan yang baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai Hari Pengundian, sementara Hari Undi awal pada 8 Ogos ini.
Sebelum ini, PH-BN telah mengumumkan manifesto mereka yang dikenali sebagai Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad Untuk 5 Tahun. - Awani