JOHOR BAHRU - Seramai 30 pelajar program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Permas Jaya teruja diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa dianjurkan Hotel Renaissance Johor Bahru, hari ini.
Ibu pelajar, Norhayati Hanifullah, 37 berkata tiada yang lebih menggembirakan hatinya selain dapat melihat anak keduanya, Mohamad Tajul Erfan Mohd Taufik, 13 teruja dengan suasana baharu.
"Ini pertama kali Tajul dapat makan di hotel jadi memang dia gembira betul tadi. Banyak juga dia makan. Dia pun gembira dapat jumpa kawan-kawan, suasana luar, tengok tempat baharu.
"Ini rezeki dia, saya tumpang rezeki anak. Nak harapkan saya bawa dia makan di hotel memang tak mampu," katanya kepada Sinar Harian.
Tajul menghidap Sindrom Angleman yang menyebabkan dia sering senyum dan ketawa namun Norhayati yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan tidak pernah rasa dibebani.
"Dulu masa Tajul kecil lagi, saya pernah rasa putus asa tapi sekarang saya terima ketentuan ALLAH, ini amanah-Nya yang kami perlu jaga.
"Cuma saya bimbang kalau kami tutup mata, siapa nak jaga Tajul. Saya takut dengar macam-macam berita kes penderaan anak," katanya tidak dapat menahan sebak.
Selain itu, Norhayati akui melihat perubahan sepanjang empat tahun anaknya itu menghadiri kelas di PDK Permas Jaya.
"Dulu dia tak pandai makan sendiri, memang tak tahu apa tapi sekarang Alhamdulillah cikgu-cikgu ajar macam-macam. Dah boleh buat sendiri, bila saya cakap dia faham dan sudah tidak terlalu obses tengok makanan," katanya.
Sementara itu, Suriani Mohd Ali, 35 yang hadir bersama anak perempuannya, Maizatul Azawiyah Rosli, 18 yang juga pelajar di PDK Permas Jaya turut melahirkan kegembiraan diraikan dalam majlis itu.
"Anak saya pekak dan bisu, selama ini dunia dia rumah dan PDK sahaja tapi hari ini dia dapat rasa dunia luar, suasana makan dalam hotel, bercampur dengan orang ramai. Dia pun saya tengok gembira betul," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai di Taman Pelangi.
Ketika ditanya perkembangan anaknya yang menyertai PDK Permas Jaya sejak tahun 2017, Suriani akui dapat melihat perubahan dalam diri anaknya.
"Banyak berubah. Sekarang dah tahu beza dan sudah faham. Misalnya kegunaan pisau, macam mana cuci pinggan. Saya memang seronok tengok perubahan dia," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Hotel Renaissance Johor Bahru, Gagan Deep Singh berkata program itu merupakan salah satu cara pihaknya mengingati golongan yang memerlukan.
"Penting untuk kita mengingati golongan yang memerlukan supaya ingatkan kita juga tidak sambil lewa. Lebih-lebih lagi sempena bulan Ramadan," katanya.