KAPAR - Calon muda Pakatan Harapan (PH), Erni Afrishah Azizi berani menyahut cabaran di Sementa walaupun PH tewas kepada Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Melihat kepada momentum pada pilihan raya negeri (PRN), Erni Afrishah turut mengakui gelombang sokongan kepada PH semakin ketara khususnya dalam kalangan anak-anak muda.
"Momentum sokongan agak kuat walaupun Kapar adalah kubu yang pernah kalah pada PRU15 namun kita mengambil keputusan itu sebagai satu cabaran untuk kita merempuh kubu berkenaan.
"Kita juga mengambil pandangan penduduk dan pandangan mereka juga amat positif dan memberi impak yang baik terhadap kita selain anak muda," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Erni Afrishah ditemui pada program mingguan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu rakyat di Restoran Jr Raden, di Bukit Kapar di sini pada Jumaat.
Beliau menambah lawatan Perdana Menteri juga memberi kelebihan kepada PH dan sebagai suntikan semangat kepada jentera di Sementa dan Meru.
Sementara itu, calon PH di Meru, Mariam Abdul Rashid pula berkata, permuafakatan politik antara PH dan Barisan Nasional (BN) juga dilihat mampu memberikan kelebihan kepada gabungan itu pada PRN.
"Sepanjang berkempen kita turut didatangi rakan-rakan dari MIC termasuk persatuan India, setakat ini mereka memberikan sokongan yang 'solid' kepada semua calon-calon daripada PH," katanya.