KOTA BHARU - Lebih 17,000 anggota dan pegawai tentera Medan Barat dan pasangan mereka di empat daripada enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) layak mengundi pada PRN kali ini.
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, anggota berkenaan akan mengundi pos, manakala pasangan mereka akan mengundi awal pada 8 Ogos.
"Setiap pegawai dan anggota perlu menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dan buatlah pilihan mengikut selera masing-masing,” katanya selepas merasmikan penutup Eksesais Keris Strike antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan United States Army Pacific Commander (USARPAC) di Kem Desa Pahlawan di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Jeneral Pemerintah Division Airborne ke-11 US Mejar Jen Brian S. Eifler, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia Mejar Jen Datuk Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Briged Kelapan Infantri Brig Jen Azudin Hassan dan Lt Kol Jonathan Earl Doiron.
Mengulas mengenai latihan yang diadakan itu, Tengku Muhammad Fauzi berkata, latihan yang bermula 17 Julai dan berakhir hari ini itu, bertujuan meningkatkan kesiagaan tempur TDM dan USARPAC dalam kebolehoperasian antara satu sama lain, dalam pelbagai keadaan.
Beliau berkata latihan melibatkan 3,303 anggota daripada TDM dan 414 anggota USARPAC itu juga, bagi meningkatkan kemahiran pemerintah, pegawai dan anggota dalam perancangan dan pelaksanaan operasi.
"Pelaksanaan eksesais ini juga untuk meningkatkan tahap pengetahuan anggota TDM dan USARPAC, khususnya dalam fasa peperangan konvensional di samping perkongsian idea dan pengalaman.
"Dalam latihan ini kita dapat belajar daripada mereka dan begitu juga sebaliknya ilmu dan kepakaran yang dimiliki masing-masing. Latihan ini juga memudahkan kerjasama pertahanan iaitu sebahagian daripada elemen diplomasi ketenteraan,” katanya. - Bernama