KUALA LANGAT - Seorang murid perempuan yang dalam perjalanan ke sekolah dipercayai dicabul dalam kejadian di Jalan Haji Masjoyo, Jenjarom dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun yang sedang menaiki motosikal untuk ke sekolah di Sungai Jarom telah diekori lelaki tidak dikenali.
Iklan
Iklan
"Jarak lokasi kejadian dengan sekolah mangsa adalah kira-kira lima kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat bapa mangsa berusia 42 tahun pada jam 11.15 pagi.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan mangsa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh dihukum dengan sebat jika sabit salah," ujarnya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.